Selasa, 25 Oktober 2016 | 12:16am

Alvin Chong cuba teroka pasaran Melayu

SEBAIK saja tamat menyertai sebuah pertandingan realiti tempatan, pemuda ini pernah mencuba nasib untuk mengembangkan bakat seninya di Hong Kong dan Taiwan.

Bagi Alvin Chong, tidak salah mencari pengalaman di negara orang sebelum kembali dan mengukuhkan tapak di negara kelahiran sendiri.

Pada awalnya beliau kurang yakin akan diterima baik di negara sendiri, memandangkan pasaran muzik tempatan yang agak terhad.

Lebih-lebih lagi, sebaik selesai penyertaannya dalam rancangan realiti berkenaan, beliau membuat keputusan untuk menghasilkan album Mandarin.


Alvin Chong pernah berusaha mencuba nasib di Hong Kong dan Taiwan. Foto Amirudin Sahib

"Saya akui bukan mudah mendapat laluan di negara orang, lebih-lebih lagi perlu bersaing dengan artis tempatan di sana. Apabila saya fikir balik, lebih baik saya mencuba nasib di negara sendiri.

"Saya ada bertanya dengan rakan-rakan dan mereka mencadangkan saya supaya cuba berlakon dalam drama Melayu. Sejak itu, saya cuba mencari peluang di arena lakonan," kata pemuda berasal dari Pulau Pinang ini kepada BH.

Rezeki ternyata berpihak kepadanya apabila diterima membintangi drama rantaian yang sedang hangat ditayangkan ketika ini, Suri Hati Mr Pilot.

Dalam drama terbabit, beliau membawakan watak rakan sekerja dan teman baik kepada karakter lakonan Fattah Amin.


ALVIN bersama penyanyi Sara Ismail dan Alyssa Dezeh di E-Studios, Petaling Jaya. - Foto Amirudin Sahib

Akuinya, beliau beruntung kerana diberikan kepercayaan oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad dan pengarah, Michael Ang, untuk berlakon dalam drama yang menjadi kegilaan penonton saat ini.

"Saya bertuah kerana dapat bergandingan dengan nama besar seperti Fattah dan Neelofa, yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya," katanya yang menjayakan watak Johan, iaitu juruterbang yang juga seorang mualaf dalam drama terbabit.

Alvin berkata, kebolehannya bertutur dalam bahasa Melayu juga memudahkan beliau menjiwai watak dalam drama itu, yang turut menyaksikannya berlakon sebagai seorang suami.

Kala ditanya cabarannya menggalas watak berkenaan, Alvin berkata, menerusi drama itu beliau perlu berlatih berulang kali untuk menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Arab.

"Saya banyak berlatih dengan pelakon dan kru terbabit. Mereka memang banyak memberikan bantuan dan sokongan kepada saya, termasuk mengajar saya menyebut perkataan itu dengan betul," katanya.


PELUANG muncul dalam drama Suri Hati Mr Pilot memberi tapak kepada Alvin Chong untuk meneroka dunia seni tempatan. - Foto Amirudin Sahib

Beliau juga tidak melihat perkara itu sebagai masalah, kerana dirinya hanya berlakon dan menjayakan watak diamanahkan kepadanya.

Alvin berharap, lakonan dalam drama berkenaan bakal membuka lebih banyak peluang untuknya beraksi dalam produksi lain, selepas ini.

"Saya memang minat berlakon dalam produksi Melayu dan kalau ada tawaran yang sesuai, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya," katanya yang meminati lakonan Datuk Rosyam Nor.

Dalam pada itu, Alvin berkata, sejak drama berkenaan ditayangkan, pengikut laman sosial peribadinya turut bertambah secara mendadak.

Katanya, penambahan lebih 50,000 pengikut itu adalah daripada kalangan peminat Melayu.

"Pengikut saya di laman sosial seperti Intagram dan Twitter meningkat secara mendadak selepas drama itu disiarkan. Pengikut Instagram kini umpamanya mencecah lebih 100,000 orang, berbanding 50,000 asalnya," katanya.

Mengenai rencana kerjaya nyanyiannya, lulusan diploma rekaan grafik ini berkata, beliau mahu melihatnya berjalan seiring dengan lakonan.

Justeru, beliau juga bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Lagu Mu, tidak lama lagi, selain berusaha mencari material menarik untuk single dalam bahasa Melayu pada masa akan datang.


PENYANYI, Alvin Chong, berharap mendapat peluang membuktikan bakat kepada peminat seni tanah air. - Foto Amirudin Sahib

"Saya memang minat menyanyi dan bermula dalam arena seni juga menerusi bidang nyanyian. Kini, saya mahu cuba pasaran Melayu dan yakin, saya juga mampu menarik minat pendengar.

"Mulanya agak risau, tetapi apabila saya lihat Elizabeth Tan diterima baik, mengapa tidak saya turut mencuba? Saya memang serius dan sedang menjalankan usaha ke arah itu," katanya yang pernah merakamkan tiga album mini dan berlakon dalam filem Huat The Fish.

Meminati penyanyi hebat, Dayang Nurfaizah, Alvin berharap beliau diberi ruang membuktikan bakatnya dan diterima baik oleh peminat.

Alvin menambah, beliau juga mahu kerjaya seninya bergerak seiring untuk pasaran Melayu dan Cina di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mempunyai pengurusan bagi kedua-dua pasaran itu, bagi menyusun jadual kerjaya termasuk undangan persembahan korporat dan persendirian.

Mengakui masih solo, beliau berkata, fokus utamanya kini adalah untuk membina nama dan tapak selesa dalam industri hiburan tempatan.

"Saya masih muda dan mahu memberikan tumpuan untuk mencari peluang dalam bidang seni. Soal cinta boleh difikirkan kemudian," katanya.

Ends.

Berita Harian X