Selasa, 25 Oktober 2016 | 6:40am

Bajet pembangkang politik murahan


KANDUNGAN bajet dibentangkan menyerlahkan kelemahan pembangkang yang masih bercelaru dan tidak memberi tumpuan untuk kesejahteraan rakyat. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PADA 19 dan 21 Oktober lalu Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan I merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membentangkan bajet 2017 masing-masing, satu bajet alternatif dan satu lagi bajet sebenar.

Bajet pembangkang bertajuk 'Pakatan Harapan Menentukan Masa Depan', bagaimanapun, jauh terkebelakang daripada bajet kerajaan bertajuk 'Menjamin Perpaduan Dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh'.

Dari segi kandungan, bajet pembangkang ini cukup bercelaru, ada tempatnya dinyatakan Pakatan Harapan (PH) adalah 'kerajaan yang bakal menerajui negara ini', tetapi di tempat lain wujud nada pesimis 'masih belum dapat dilihat jika rakyat akhirnya akan bangkit'.

Pembangkang mengkritik Najib berpolitik ketika membentangkan bajet, padahal bajet pembangkanglah yang berpolitik dengan obsesinya kepada desakan supaya Najib meletak jawatan, kononnya beliau 'ancaman tunggal terbesar terhadap ekonomi negara'.

Bajet sepatutnya ditumpukan kepada isu substantif kewangan negara dan bukan diselitkan dengan agenda politik murahan, tetapi itulah yang dilakukan pembangkang dengan membuat kacau dan meninggalkan Parlimen ketika bajet sedang dibentangkan.

Tindakan tak bertamadun

Jika ada perkara dalam bajet yang pembangkang tidak berpuas hati, mereka sepatutnya menunggu giliran menyuarakannya mengikut merit dan secara berhemah. Membuat kacau dan meninggalkan Parlimen adalah tindakan tidak bertamadun.

Tiada salahnya Najib menempelak pemimpin pembangkang tertentu yang menuduh bajet itu bikinan sandiwara dan kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi. Jika tuduhan ini ada asas buktikan sahaja, bukan mempengaruhi orang lain untuk menolaknya sama.

Tetapi, apabila ia tidak dilakukan pembangkang, maka terbukti mereka tiada keyakinan bajet itu akan ditolak atau Najib mampu didesak meletakkan jawatan seperti tidak berhasilnya tuntutan mereka terhadap Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Ternyata bajet Najib cukup realistik dan bertanggungjawab, seperti ditegaskan beliau, ia adalah bajet yang sangat berkomited dan tidak mementingkan kepopularan politik, sebaliknya demi memastikan kedudukan asas ekonomi negara kekal berdaya tahan.

Tepat sekali kata Najib, kita berada pada landasan betul kerana keberanian kerajaan membuat keputusan sekalipun ia tidak popular, seperti mempelbagaikan sumber hasil, memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi.

Ia bersifat inklusif demi kesejahteraan rakyat seluruhnya. Projek dan program rakyat centric terus dilaksanakan di bandar dan luar bandar. Begitu juga dengan pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan negeri terus mendapat manfaat daripada bajet ini.

Agenda memperkasa Bumiputera tetap diutamakan, pada masa sama kerajaan tetap prihatin keperluan komuniti Cina dan India. Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak yang diberikan layanan sama rata dengan negeri lain di dalam Malaysia.

Ini berbeza daripada bajet pembangkang yang cuba menggula-gulakan segmen pengundi tertentu, termasuk rakyat Sabah dan Sarawak yang dijanjikan peruntukan RM15 bilion, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri dan status tanah adat kepada pemilik asal.

Namun, hanya dengan melihat cadangan dasar pertama bajetnya, kita dapat melihat parti manakah yang sebenarnya berkuasa dalam pakatan pembangkang dan ke mana hala tuju negara jika ia menguasai tampuk pemerintahan negara.

Mengikut bajet ini, jika pembangkang berkuasa, ia akan mewujudkan Akta Peluang Pekerjaan Saksama (APPS) yang akan diguna pakai kepada semua guna tenaga dalam kedua-dua sektor awam dan swasta, di mana ini jelas akan menjejaskan kepentingan Bumiputera.

Malah, APPS bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam negeri).

Tak hormati Perlembagaan

Cadangan mewujudkan APPS ini sekali gus memberi gambaran pemimpin pembangkang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, kerana jika ia mahu dilaksanakan Perkara 153 wajib dipinda, dan ini memerlukan persetujuan 2/3 daripada keseluruhan Ahli Parlimen selain perkenan daripada Majlis Raja-Raja seperti yang diperuntukkan Perkara 159 (5).

Selepas bajet kerajaan dibentangkan, Penang Institute, badan pemikir kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP, menggesa pula kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam bagi mengurangkan defisit, dengan 1.6 juta kakitangan kerajaan di Malaysia disyor dikecilkan menjadi 1.4 peratus bilangan penduduk seperti di Singapura atau 430,000 seperti di Jerman.

Melucukan juga apabila bajet pembangkang ini mengandungi pengakuan terbuka terhadap keberkesanan dasar kerajaan. Dalam bidang kesihatan, ditulis, 'perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia semunasabahnya adalah cekap' manakala dalam bidang pengangkutan pula turut tertulis, 'capaian pengangkutan awam bandar meningkat'.

Kandungan bajet bercelaru

Begitu juga dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebelum ini dikecam hebat oleh pemimpin pembangkang yang melaungkan mahu menghapuskannya untuk digantikan dengan sistem pendidikan percuma, kini diakui keberkesanannya malah dicadangkan untuk diperbaharui bagi menjadikannya lebih adil dan mapan.

Kandungan bajet pembangkang ini membayangkan mereka masih bercelaru, tidak peliklah mengapa Dasar Bersama PH yang dijanjikan oleh Majlis Presidennya pada 5 Januari lalu untuk dilancarkan pada Jun sehingga ke hari ini masih belum ada bayangnya.

Malah, kenyataan media Majlis Presiden PH pada 12 Julai lalu mengakui kelemahan PH dengan menyebut pimpinan politik dilihat terlalu terperangkap dengan kegawatan politik sesama ahli dan parti politik manakala tumpuan tidak diberikan kepada rakyat.

Tidak hairanlah mengapa kandungan bajet pembangkang ini dilihat tidak memberikan tumpuan kepada rakyat. Sangat munasabah Najib ketika menutup bajetnya menyatakan keyakinan bahawa angin kemenangan besar Pilihan Raya Negeri Sarawak akan membawa pula kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kepada Kerajaan BN.

418 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »