Selasa, 25 Oktober 2016 | 12:48pm

MAMPU anjur Hackathon Data Terbuka Sektor Awam


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun (tengah) beramah mesra bersama palajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang menyertai Hackathon Data Terbuka Sektor Awam 2016 di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya, turut kelihatan Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Zainal Rahim Seman (berdiri tiga kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

CYBERJAYA: Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) menganjurkan pertandingan Hackathon Data Terbuka Sektor Awam yang berlangsung secara berterusan selama 48 jam.

Ia adalah platform pertandingan bertujuan menggalakkan pembangunan aplikasi atau produk berasaskan data terbuka.

Pertandingan berkenaan disertai 38 kumpulan membabitkan 132 peserta yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu penjawat awam dan industri, universiti awam (UA) serta pelajar sekolah menengah.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), GITN Sdn Bhd (GSB) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Hadiah wang tunai RM10,000 ditawarkan bagi pemenang tempat pertama kategori penjawat awam dan industri serta UA, manakala RM3,000 bagi kategori sekolah menengah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun ketika berucap merasmikan pertandingan itu berkata, setakat ini terdapat 1,336 set data terbuka tersedia dalam Portal Data Terbuka Sektor Awam dan berharap sasaran 1,500 set data terbuka dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.

"Sehingga kini, Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysian Centre for Geospatial Data Infrastruktur (MaCGDI) dan Kementerian Sumber Asli menjadi agensi pembekal utama set data terbuka sektor awam, antaranya termasuk statistik tenaga buruh mengikut negeri, statistik ladang getah di Malaysia sejak tahun 1965 hingga 2014 serta bilangan kampung dan penduduk orang asli mengikut negeri," katanya.

Berita Harian X