
JOHOR BAHRU: "Arwah seorang yang baik dan pemergiannya dilihat begitu tenang dan sempurna," kata Noralina Khalil, 49, sepupu kepada Yusof Hassan, 58, antara mangsa korban dalam kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, pagi tadi.
Katanya, arwah yang juga orang kelainan upaya (OKU) dipindahkan ke wad ICU HSA sejak tiga hari lalu dari Hospital Batu Pahat, dekat sini.
"Arwah pada mulanya menerima rawatan di Hospital Batu Pahat kerana menghidap masalah tumor. Bagaimanapun, terpaksa dipindahkan ke HSA selepas terjatuh dalam bilik air.
"Arwah dirujuk ke HSA sejak tiga hari lalu selepas tidak sedarkan diri dan doktor memaklumkan arwah perlu menjalani dua pembedahan kerana terdapat lebihan cecair dalam otaknya," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HSA, di sini, petang tadi.
Beliau berkata, arwah yang masih belum berkahwin itu tinggal seorang diri.
"Arwah sangat baik dan peramah. Biarpun mengalami masalah kecatatan mental, arwah tidak pernah kacau orang lain, sebaliknya disenangi orang sekelilingnya," katanya.