Rabu, 26 Oktober 2016 | 1:20pm
NAD Zainal dan anaknya, Fahad Ibrahim.

Nad enggan manjakan diri ketika berpantang


NAD Zainal dan anaknya, Fahad Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nad Zainal, tidak suka memanjakan dirinya ketika menjalani amalan berpantang yang hanya akan selesai pada pertengahan November depan.

Menurut bintang Juvana 3 ini, seperti ibu lain yang baru melahirkan anak, dirinya juga berpantang dengan mengamalkan aktiviti bertungku, mengenakan bengkung dari pagi selain mendapat khidmat rawatan selepas bersalin.

"Sekalipun sedang berpantang, saya bagaimanapun tidaklah sampai membataskan diri daripada melakukan perkara lain. Saya masih buat kerja rumah yang dikira ringan.

"Biar pun pada sebelah pagi ada pembantu yang menguruskan serba sedikit kerja rumah, saya tidak lepas tangan begitu saja. Saya tak nak bermalas-malasan sangat," katanya yang memberikan susu badan kepada si kecil.

Nad selamat melahirkan bayi lelaki sulung, Fahad Ibrahim, pada 14 Oktober lalu secara pembedahan. Cahaya mata berkenaan ialah hasil perkongsian hidup pelakon berbakat itu dengan Faliq Amirudin, yang dikahwininya pada 18 Disember tahun lalu.

Menurut wanita berusia 26 tahun ini, dari segi diet ketika berpantang, beliau hanya memakan segenggam nasi setiap kali tiba waktu makan.

"Saya lebihkan pengambilan lauk dan buah. Selain itu, saya juga kerap meminum air masak," katanya sambil memberitahu, menerusi amalan dilakukannya kini, berat badannya juga menurun dengan lebih cepat.

Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 ini berkata, bagi melancarkan proses penghadaman pula, beliau mengamalkan pengambilan kurma.

"Saya juga berasakan rutin berpantang ini bukanlah menyusahkan. Setiap kali diurut dan melakukan amalan berpantang, saya memang rasa segar," katanya.

Sementara itu, seperti ibu lain yang teruja menyambut anak sulung, Nad turut menikmati detik indah bersama bayi dan suaminya, saat ini.

"Saya berasa amat seronok sebab ada perkara baharu yang hendak dibuat. Kehidupan ini bukan lagi berlegar di antara saya dan suami semata-mata, tetapi keutamaan kini lebih kepada Fahad. Ibaratnya, bangun saja daripada tidur, perkara pertama yang mahu dilihat semestinya si jantung hati saya yang satu itu.

"Hidup saya kian sempurna dengan kelahiran Fahad. Kehadirannya bagai menambah keceriaan dalam hidup saya dan suami," katanya yang sempat memaklumkan sudah menerima beberapa tawaran berlakon, namun hanya akan kembali ke lokasi pada Januari nanti.

Berita Harian X