Rabu, 26 Oktober 2016 | 8:36pm

160 bangunan sekolah dijadikan pusat pemindahan banjir


SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 160 sekolah menengah dan rendah adalah antara 494 pusat pemindahan banjir disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri tahun ini.

Pengerusi JPBN, Datuk Wan Nawawi Ismail, berkata selain bangunan sekolah, turut dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir tahun ini adalah balai raya serta dewan orang ramai dan mampu menampung kira-kira 133,729 mangsa.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta sebagai persediaan untuk menghadapi bencana yang dijangka melanda negeri ini awal bulan depan.

"Peruntukan disediakan itu akan ditambah bergantung kepada keadaan bencana banjir yang dijangka melanda di negeri ini.

"Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (Meteorologi), negeri ini akan mengalami fenomena Monsun Timur Laut berikutan peralihan Monsun mulai minggu pertama dan kedua bulan depan sehingga Mac tahun depan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBN peringkat negeri di Wisma Darul Iman, di sini, petang ini.

Yang turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman.

Berita Harian X