Khamis, 27 Oktober 2016 | 4:20pm

Pendapatan MAHB meningkat 9.1 peratus

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan pendapatan RM3.1 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2016, meningkat 9.1 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.

Perolehan sebelum cukai, kadar faedah, susut nilai dan pelunasannya (EBITDA) meningkat 16.6 peratus kepada RM1.3 bilion dalam tempoh itu.

EBITDA yang dicatatkan itu mewakili 77.9 peratus sasaran tahunan EBITDA bagi keseluruhan tahun berakhir 31 Disember 2016, kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai prestasi operasinya, MAHB berkata, dengan gabungan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG), ia mengendalikan 87.7 juta penumpang dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2016, meningkat 4.8 peratus berbanding tempoh sama tahun 2015.

Mengenai operasi di Malaysia, MAHB berkata, pergerakan penumpang di 39 lapangan terbang di Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 65.1 juta dalam tempoh dikaji dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KL mencatatkan pertumbuhan penumpang 5.9 peratus.

Ia berkata, operasi pengendali lapangan terbang itu di Malaysia mencatatkan pendapatan RM2.3 bilion dengan pendapatan aeronautikal dan bukan aeronautikal berkembang sebanyak 10.8 peratus.

Sementara itu, pendapatan runcit dan sewa terus mencatatkan pertumbuhan dua angka, masing-masing meningkat 11.3 peratus dan 10.2 peratus.

Bagi operasi MAHB di luar negara, pergerakan penumpang di ISG berkembang 5.9 peratus kepada 22.5 juta penumpang dalam tempoh sembilan berakhir 30 September 2016.

Pendapatan dari operasi di Turki berkembang sebanyak 6.5 peratus kepada RM727.7 juta bagi tempoh yang sama sementara EBITDA meningkat 4.7 peratus kepada RM540.3 juta berikutan pertumbuhan kukuh dalam pergerakan penumpang.

Pendapatan dari operasi di Doha, Qatar kekal tidak berubah pada paras RM93.4 juta dalam tempoh dikaji.

Berita Harian X