Khamis, 27 Oktober 2016 | 5:03pm

NSOF lambang komitmen kerajaan jaga keselamatan negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar penerangan dari Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin (dua dari kanan) berkenaan senjata yang dipamerkan ketika majlis pelancaran 'National Special Operations Force' (NSOF) di Bangunan NSOF, Kem Perdana Sungai Besi. Turut kelihatan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Asyraf Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar penerangan dari Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin (dua dari kanan) berkenaan senjata yang dipamerkan ketika majlis pelancaran 'National Special Operations Force' (NSOF) di Bangunan NSOF, Kem Perdana Sungai Besi. Turut kelihatan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF) membuktikan kerajaan tidak alpa, sebaliknya serius dalam memastikan keselamatan negara daripada sebarang pencerobohan dan keganasan, sekali gus menjamin kedaulatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata menerusi usaha bersepadu antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), inisiatif ini akan memberi sumbangan besar selain menjadi nilai tambah dalam usaha menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Beliau berkata, setakat ini Malaysia terselamat daripada sebarang ancaman keselamatan dan keganasan kecuali berlaku insiden kecil kesan daripada kesiapsiagaan tertinggi dan berkesan oleh PDRM dan ATM.

"Saya berbangga hari ini dapat saksikan penubuhan NSOF, yang terdiri daripada anggota yang dipinjamkan daripada ATM, PDRM dan APMM.

"Pada awalnya kekuatan terdiri daripada 17 pegawai dan 170 anggota."Mereka dah berlatih selama 6 bulan dan akan ditempatkan di sini (Kem Perdana Sungai Besi) supaya mereka boleh diatur gerak pada bila-bila masa dalam waktu paling singkat," katanya pada sidang media selepas melancarkan NSOF di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

NSOF adalah satu pasukan bersepadu yang berperanan sebagai satu pasukan tetap untuk bertindak pantas bagi menangani ancaman keganasan terhadap kepentingan negara.

NSOF berperanan sebagai pasukan penggempur untuk melawan keganasan di darat, laut dan udara dalam sebarang krisis yang mengancam kepentingan dan keselamatan negara.

Penubuhan pasukan itu adalah sebahagian daripada usaha inisiatif keselamatan negara di bawah NBOS 4. - 'Creating Blue Ocean Strategy in National Security'.

Pada peringkat awal penubuhan, semua perjawatan NSOF adalah secara dipinjamkan daripada pasukan khusus ATM, PDRM dan APMM.

Bagaimanapun, permohonan perjawatan baru akan dibuat sebaik saja pasukan ini mula beroperasi.

Berita Harian X