Khamis, 27 Oktober 2016 | 6:21pm

Raudhah di Hatiku tiba di Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tengah) melihat bubur asyura yang menyertai pertandingan di majlis Muafakat Asyura Perdana yang diadakan di Dataran Pahlawan, Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tengah) melihat bubur asyura yang menyertai pertandingan di majlis Muafakat Asyura Perdana yang diadakan di Dataran Pahlawan, Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Karnival Raudhah Di Hatiku TV9 rangkaian televisyen Media Prima Bhd (MPB) tiba di Kedah hari ini untuk menjayakan program siri jelajah terakhirnya yang berlangsung dua hari, bermula esok.

Siri jelajah kali ini diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman, dekat sini, selepas singgah di Kuala Terengganu dan Kota Bharu yang menawarkan pengisian berunsur Islamik serta interaksi melalui pelbagai program menarik membabitkan motivasi, pendidikan dan spritual.

Raudhah Di Hatiku juga sempat menjayakan Program Khidmat Masyarakat TV9 di Rumah Anak Yatim Darul Aitam Wal Masakin hari ini.

Di rumah anak yatim itu, pasukan Raudhah Di Hatiku bersama artis, selebriti dan bekas peserta program Da'i menjalankan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan 'think out of the box', bengkel penjagaan gigi bersama Klinik Pergigian Kementerian Kesihatan selain dihiburkan dengan persembahan kumpulan Genji Buskers.

Karnival kali ini mempunyai pelbagai acara menarik termasuklah program 'Diskusi Raudhah' bertajuk 'Ikatan Dajjal Sudah Terlepas?' pada jam 8.30 malam.

Ia turut menyenaraikan program tarikan lain yang diadakan pentas utama antaranya Tanyalah Ustaz yang akan bersiaran langsung dengan membawa pengisian bertajuk 'Smart Thoharah' bersama Ustaz Nik Kamaruddin Yunoh pada jam 7 pagi esok.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, berkata pihaknya berharap penganjuran Raudhah Di Hatiku kali ini dapat menarik lebih ramai pengunjung berbanding karnival yang pernah dianjurkan sebelum ini.

"Raudhah Di Hatiku kembali berlabuh di Alor Setar sebagai lokasi terakhir tahun ini untuk bertemu penonton setia TV9 yang tidak putus memberi sokongan kepada kami.

"Selain itu kami juga berbangga kerana dapat menjadi platform yang sesuai bagi semua pihak untuk memahami pengisian Islamik dengan lebih mendalam," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Berita Harian X