Khamis, 27 Oktober 2016 | 11:26pm
Abil dan suami turut menjalani penggambaran program Romantika ketika di Australia.

Nabila, suami bercuti sambil bekerja di Australia

KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda, 31, meluahkan keterujaan apabila impian untuk menikmati percutian menaiki karavan bersama insan tersayang akhirnya tercapai.

Nabila atau lebih mesra dengan sapaan Abil kini berada di Australia bagi menjayakan dua program televisyen bersama suaminya, Mohd Izwan Johar, 32.

Mereka dijadualkan berada di negara kanggaru selama 30 hari.

"Sudah lama saya menyimpan impian untuk bercuti menaiki karavan bersama orang tersayang. Alhamdulillah, ia berjaya dicapai pada tahun ini. Kami boleh diibaratkan seperti bekerja sambil bercuti sepanjang berada di negara ini.

"Kami melawat tempat-tempat menarik di Australia dengan menaiki karavan bersama beberapa kru produksi. Malah, kami juga ada kala menukar arah perjalanan pada saat akhir, jika masing-masing bersetuju.

"Antara tempat menarik yang sudah pun kami kunjungi termasuk Gold Coast, Brisbane, Melbourne dan banyak lagi sepanjang 15 hari di sini. Kami masih perlu mengunjungi 11 lagi lokasi untuk program travelog ini," katanya kepada BH Online.

Bintang filem Munafik itu berkata, dirinya dan suami turut menjalani penggambaran program Romantika ketika berada di negara itu dan ia bakal disiarkan pada 31 Oktober ini.

Anak kepada vokalis Search itu dan Izwan selamat diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Disember 2015.

Sebelum itu, Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Zaidy Zailani pada tahun 2008, namun berpisah dua tahun kemudian. Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan anak perempuan bernama Keisha Laila yang kini berusia enam tahun.

Dalam pada itu, Abil menjelaskan kerinduan terhadap anak perempuannya tidak dapat dibendung lagi, namun beliau cuba melawan perasaan berkenaan demi melunaskan tuntutan kerja.

"Semestinya kami berdua merindui Keisha, namun memilih untuk tidak terlalu memikirkan perihal itu kerana enggan mengganggu tumpuan terhadap kerja," kata Abil.

Berita Harian X