Jumaat, 28 Oktober 2016 | 1:04am

Sektor awam, swasta jimat RM2.3b menerusi APIC


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyampaikan Sijil Fasilitator Cemerlang kepada Pejabat Kesihatan Daerah Pontian yang diwakili Dr Haminah Sadimon di malam Ekspo dan Persidangan Tahunan Produktiviti dan Industri (APIC) 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Sejumlah 13 pertubuhan menerima sijil pada majlis tersebut. Turut hadir Pengerusi Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Tan Sri Azman Hashim dan Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain (kiri). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Sektor awam dan swasta di negara ini menjana penjimatan kos hingga RM2.3 bilion dari 2011 hingga tahun lalu menerusi pelbagai projek inovasi daripada Persidangan dan Ekspo Tahunan Produktiviti dan Inovasi (APIC).

Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Tan Sri Azman Hashim, berkata APIC dimulakan sejak 2011 sebagai platform untuk organisasi awam dan swasta mempamerkan amalan terbaik mereka dalam proses inovasi, meningkatkan kepuasan pelanggan dan pengurusan kos.

Katanya sejak 2011, APIC berjaya menarik penyertaan daripada 2,300 organisasi awam dan swasta membabitkan 28,277 peserta daripada 3,135 kumpulan.

"Projek inovasi sektor awam dan swasta juga dinilai di peringkat serantau dan kumpulan yang menunjukkan prestasi terbaik dalam APIC akan dijemput mengambil bahagian dalam beberapa persidangan antarabangsa berkaitan inovasi.

"Antaranya termasuk Konvensyen Antarabangsa Kumpulan Pengawalan Kualiti (IQCCC) yang akan berlangsung pada 24 hingga 27 Oktober 2017 di Manila, Persidangan Kualiti Asia Pasifik (APQC) 2017 di Filipina dan Ekspo Antarabangsa mengenai Team Excellence (IETEX) 2017 di Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Persidangan dan Ekspo Tahunan Produktiviti dan Inovasi (APIC) 2016 dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Konvensyen Team Excellence Kebangsaan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, pada Khamis.

Majlis penutupan dan penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada majlis itu, Rapid Rail Sdn Bhd dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan Team Excellence 2016.

Sementara itu Mustapa ketika berucap pada majlis itu berkata APIC menekankan pentingnya meningkatkan potensi produktiviti di Malaysia ke arah mencapai sasaran global.

"Antara strateginya ialah memperjuangkan produktiviti dan daya saing dengan memupuk tenaga kerja yang cekap, inovatif dan berkemahiran, memanfaatkan penyelidikan dan inovasi, serta meningkatkan daya saing pasaran," katanya.

Berita Harian X