Jumaat, 28 Oktober 2016 | 10:05am
HALIZA Misbun .

Haliza Misbun tak pernah tinggalkan dunia lakonan

KUALA LUMPUR: Bagi wanita ini, istilah aktif kembali dalam dunia lakonan tidak pernah wujud dalam kamus hidup.

Hakikatnya, Haliza Misbun yang mencipta populariti apabila drama bersiri Cinderella 'meledak' pada pertengahan 1990-an, tidak pernah meninggalkan dunia seni.

"Tidak ada istilah 'making a comeback'. Saya berlakon apabila terasa mahu melakukannya.

"Minat itu didorong pelbagai faktor termasuk jalan cerita yang baik selain saya kenal penerbit atau pengarahnya. Mungkin atas itulah faktor yang membuatkan saya sesekali melepaskan rindu berlakon," katanya kepada BH Online.

Haliza memberitahu, selama ini dia masih aktif dalam dunia seni demi kelangsungan hidup.

"Saya perlu meneruskan hidup. Jadi, tidak wujud kata-kata saya sudah tiada lagi dalam dunia seni. Saya masih ada tanggungjawab dan keluarga yang perlu dijaga. Pada masa sama, saya menceburi bidang pekerjaan lain demi masa depan yang lebih baik," katanya.

Menceritakan perkembangan terbaharu, Haliza berkata, dia sibuk melunaskan baki penggambaran drama Selamat Malam Tan Sri yang antara lain menemukan dirinya kembali dengan teman seperjuangan, Datuk Eizlan Yusof.

Dalam drama itu, Haliza melakonkan watak Datin Suhaila manakala karakter Tan Sri dihidupkan Eizlan.

"Watak Datin Suhaila adalah antagonis. Ia bukan karakter yang boring. Pengurus eksekutif drama ini pula adalah Akhbar Hashim yang saya sifatkan bakat yang jarang ditemui.

"Pengarah drama pula adalah Raja Mukhriz yang difahamkan antara yang terbaik," katanya.

Menceritakan pengalaman beraksi dengan Eizlan selepas kali terakhir dipertemukan dalam drama kira-kira dua dekad lalu, Haliza berkata:

"Eizlan adalah pelakon hebat dan sangat bersemangat. Saya tertanya kenapa dia belum dipandang dan diberi pengiktirafan terhadap bakat seninya," katanya,

Haliza sebelum ini membintangi telefilem Kembali Kepada Fitrah yang diarahkan Ismail Yaacob.

Pada tahun 2014, Haliza berlakon telefilem Mengintai Syurga Mama terbitan Zeel Production.

Projek itu menggandingkan dirinya dengan Nad yang dikatakan memiliki wajah seiras dengannya.

Berita Harian X