Jumaat, 28 Oktober 2016 | 11:26am
ZULINDA menyoal siasat nelayan warga asing yang ditahan.

APMM tahan 6 awak-awak dan tekong warga Indonesia


BOT nelayan warga asing yang ditahan.

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan enam awak-awak bersama seorang tekong warga Indonesia ketika sedang menangkap ikan kira-kira 83 kilometer dari barat laut Pulau Pangkor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.55 petang itu, semua warga asing berkenaan difahamkan sudah berada tiga hari di laut dan turut dirampas kira-kira 200 kilogram pelbagai jenis ikan. Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, bot berkenaan ditahan sepasukan anggota Kapal Maritim Nyalau yang diketuai Leftenan Komander Maritim Hasrul Ashraf Mohd Nasir ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara.

Katanya, siasatan mendapati semua warga asing berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan gagal menunjukkan surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Semua warga asing yang ditahan berusia antara 17 dan 55 tahun serta berasal dari Belawan, Indonesia.

"Ketika ditahan mereka sedang menangkap ikan dengan menggunakan peralatan rawai dan memberikan alasan bot mengalami kerosakan sehingga tidak menyedari sudah memasuki perairan negara," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Maritim 3 Lumut, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan bot bersama warga asing berkenaan diiringi ke Jeti Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X