Sabtu, 29 Oktober 2016 | 5:08pm

Perkhidmatan ETS Kuala Lumpur-Ipoh dijangka pulih esok


PROSES pengalihan tren kargo yang tergelincir di Kilometer 200.332 di Kampung Bakap berhampiran Stesen Keretapi Batu Gajah, Perak. - Foto BERNAMA

SEGAMAT: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Ipoh yang terjejas berikutan insiden tren kargo tergelincir di Kilometer 200.332 di Kampung Bakap berhampiran Stesen Keretapi Batu Gajah, Perak awal pagi semalam, dijangka pulih esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sudah mengarahkan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) supaya menyegerakan proses pengalihan tren kargo yang tergelincir bagi memastikan perkhidmatan ETS Kuala Lumpur-Ipoh pulih.

"Sekurang-kurangnya satu landasan dapat digunakan esok bagi perkhidmatan ETS Kuala Lumpur-Ipoh selepas tren yang tergelincir dialihkan dalam tempoh 48 jam sejak semalam.

"Perkhidmatan ETS yang tergendala di laluan Kuala Lumpur-Ipoh menyebabkan 36 bas disediakan KTMB bagi mengangkut pengguna di laluan membabitkan Kampar-Ipoh dan Batu Gajah-Ipoh," katanya selepas melawat Tokong Pertubuhan Penganut Dewa Tai Poh Yah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Sebanyak 40 jadual perjalanan ETS iaitu dari Gemas-Kuala Lumpur-Padang Besar terjejas susulan kejadian berkenaan.

Perkhidmatan ETS membabitkan laluan sepanjang 35 kilometer dari Kampar ke Ipoh dihentikan selama 48 jam bagi kerja membaik pulih dan pengalihan tren tergelincir.

Sementara itu, di BATU GAJAH, Pengerusi KTMB, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata khidmat ETS akan disambung semula esok apabila kerja-kerja pengalihan gerabak kargo sudah hampir 70 peratus siap kira-kira jam 5 petang tadi.

Katanya, perkhidmatan ETS laluan utara-selatan dijangka mula beroperasi seawal jam 5 pagi esok.

Kemajuan itu dicapai lantaran kerja berterusan 140 kakitangan KTMB yang berusaha memulihkan sekurang-kurangnya satu landasan bagi membolehkan ETS kembali beroperasi.

"Penumpang dijangka tidak lagi perlu menaiki bas transit di stesen Ipoh dan Kampar pada jadual perjalanan pertama esok.

"Kerja pengalihan gerabak dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari tadi dengan menggunakan sebuah kren yang mampu mengangkat bebanan seberat 360 tan yang mengambil masa 20 minit bagi mengalihkan satu gerabak," katanya.

Nawawi berkata, pihaknya yakin satu laluan rel kereta api yang terjejas sebelum ini sudah boleh digunakan untuk ETS.

"Kita memerlukan masa lapan jam untuk menyiapkan trek baru manakala dua jam lagi untuk pemasangan elektrik," katanya.

37 dibaca
Berita Harian X