Sabtu, 29 Oktober 2016 | 8:59pm

Alif penuhi impian arwah ibu hasilkan lagu Ziana Zain

Kumpulan Sleeq pada sirijJelajah Bintang Popular Berita Harian ke-25 (ABPBH 25) di Kompleks Pasir Gudang. - Foto Khairunisah Lokman

KUALA LUMPUR: Membina kredibiliti selepas menaikkan populariti Kaka Azraff menerusi lagu terbaharu ciptaannya, Terima Kasih selain Liyana Jasmay dengan Oh Nana dan Selesa Tanpamu, komposer kelahiran Singapura, Alif mencabar kemampuan dengan memberikan sentuhan kepada penyanyi senior, Ziana Zain.

Bekas anggota Sleeq itu mengakui terkejut apabila Ziana tertarik untuk merakamkan lagu ciptaannya, selepas beberapa percubaan memperkenalkan karyanya kepada penyanyi berpengalaman lain ditolak.

"Saya sifatkan Ziana sebagai penyanyi yang berani kerana sanggup memberikan peluang kepada komposer baharu untuk menghasilkan lagu. Kesudian Ziana membuat saya teruja, apatah lagi kehebatannya sebagai antara penyanyi terbaik negara sudah diakui.

"Ia juga sebagai memenuhi impian arwah mama yang ketika hayatnya sentiasa memberi galakan supaya saya menulis lagu kepada penyanyi hebat seperti Ziana," kata Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah, 27, yang bakal menghasilkan dua lagu untuk dirakamkan penyanyi Madah Berhelah itu.

Ditemui pada majlis pelancaran dua single terbaharu Liyana, Alif juga pernah menerima pelawaan daripada adik penyanyi itu, Anuar Zain untuk menghasilkan lagu namun tidak sempat disempurnakan kerana kekangan masa.

Kini bergerak solo selepas Sleeq berpecah pada November tahun lalu, Alif merancang untuk tampil dengan single terbaharu selepas memperkenalkan lagu Mama pada April lalu.

"Saya akui agak gementar untuk tampil dengan single kedua kerana pasaran di sini terlalu mencabar. Saya risau memikirkan sambutannya, namun saya berharap single yamg diberi judul Sama ini akan diterima peminat. Lagu sudah siap, cuma menanti lampu hijau daripada Warner Music untuk diperkenalkan," katanya.

Mengakui sedang berusaha keras membina nama di negara ini, Alif bagaimanapun tidak sesekali melupakan keluarganya yang masih menetap di Singapura. Setiap bulan, Alif akan memastikan dirinya mengambil cuti untuk bersama isteri dan anak sulungnya, Alana yang kini berusia lima bulan.

"Keluarga meminta saya pulang dan meneruskan kerjaya di Singapura selepas mama meninggal dunia, tetapi isteri melarang. Dia sentiasa memberi semangat supaya terus berusaha mengembangkan bakat di sini. Saya akui agak sukar berjauhan dengan isteri dan anak.

"Setiap bulan, saya akan peruntukkan sekurang-kurangnya dua minggu bersama mereka. Itu penting kerana saya tidak mahu terlepas peluang melihat anak membesar di depan mata," katanya.

Bersama Sleeq yang ditubuhkan pada tahun 2005, mereka dikenali menerusi lagu Sesaat Kau Datang seterusnya mendaki populariti apabila berduet bersama sensasi YouTube, Najwa Latiff dalam lagu Untuk Dia.

Berita Harian X