Ahad, 30 Oktober 2016 | 3:03pm

RM1.4b tingkat kekerapan komuter KL-Seremban


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Khairunisah Lokman

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan memperuntukkan RM1.4 bilion bagi meningkatkan frekuensi perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) khusus pada waktu puncak, kata Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kerja menaik taraf frekuensi diharap dapat disempurnakan sebelum tahun 2020.

"Kita sedang buat signal link Landasan Berkembar Lembah Klang.

:Kita akan kembangkannya ke Seremban kerana signal link berupaya tingkatkan frekuensi perkhidmatan komuter," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan kereta api akan ditingkatkan dengan memastikan masalah seperti gerabak tergelincir tidak akan berlaku.

Dalam pada itu, Liow berkata pasukan siasatan telah ditubuhkan untuk menyiasat kejadian gerabak barang KTMB tergelincir daripada landasan sehingga menyebabkan ribuan penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) terkandas di Stesen KTMB Ipoh, Jumaat lalu. - BERNAMA

56 dibaca
Berita Harian X