Isnin, 31 Oktober 2016 | 12:03am

Berat Saharul naik 20kg lepas 45 hari kahwin

HAKIKAT berat badan golongan lelaki yang bertambah selepas mendirikan rumah tangga bukanlah perkara asing. Dengan adanya isteri menjaga keperluan harian selain hidangan enak tersedia setiap kali pulang ke rumah, hati si suami tentu saja bertambah senang.

Saat itu, bukan saja selera yang semakin meningkat, berat badan juga ikut bertambah.

Suasana sama dialami oleh pelakon Saharul Ridzwan. Beratnya meningkat kira-kira 20 kilogram (kg) sejak mendirikan rumah tangga bersama Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada 16 September lalu. Ketika ini, bintang Hati Perempuan itu mendedahkan beratnya mencecah 90 kg.

Ditemui ketika menjalani penggambaran telefilem Trauma di Kuang, Selangor, beberapa hari lalu, perubahan memang tampak ketara pada fizikal pelakon ini.

Begitupun, cepat-cepat beliau mendakwa dirinya kini mula kembali ke gimnasium bagi mengelak tubuhnya semakin 'mengembang'.

"Memang saat ini saya terlalu bahagia selepas berumahtangga. Semuanya terjaga dari segenap segi.

"Bangun pagi saja, makanan sudah tersedia di atas meja. Isteri pula memang akan bangun pagi dan menyediakan hidangan untuk kami. Apabila pulang dari lokasi, beliau yang setia menunggu di rumah sekali lagi menjamu suaminya ini.

Hasilnya, lihatlah bentuk badan saya yang mula mengembang ini," selorohnya membuka cerita.

BERAT Saharul meningkat kira-kira 20kg sejak mendirikan rumah tangga. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SAHARUL mendirikan rumah tangga bersama Qaabila Deena Emir pada 16 September lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kata pelakon Kau Aku Kita ini juga, kehidupannya kini semakin teratur sejak kehadiran Deena.

"Ketika bujang dulu, memang kehidupan saya tidak berapa teratur. Tidur pun tidak menentu kerana sibuk bekerja. Jika pulang daripada penggambaran drama sekitar jam 12 tengah malam pun, bukannya saya boleh lelap serta-merta. Akhirnya, jam 2 atau 3 pagi baharu boleh lena. Sekarang, suasana agak berbeza apabila kita mempunyai teman tidur.

"Sekarang, dimensi hidup nyata berbeza. Kehidupan bukanlah berlegar pada diri kita saja. Kami juga cuba untuk solat berjemaah bersama-sama, terutama pada waktu Subuh. Cuma, kerja kadang-kadang membataskan kami untuk melakukannya sekerap mungkin," kata Saharul.

Menurut pelakon ini, selepas beberapa bulan hidup bersama, beliau dan isteri masih lagi dalam proses untuk saling mengenali. Beliau turut berasakan isterinya kian faham tugas dan bentuk kerjanya sebagai anak seni.

"Cuma, sehingga kini isteri memang setia dan rela menunggu sampai saya pulang rumah selepas habis kerja di lokasi. Walaupun saya tidak mahu menyusahkannya dengan berbuat begitu, beliau tetap juga dengan keputusan itu. Maklumlah, kerja lakonan ini memang tidak boleh dijangka waktunya. Saya pula kasihankan dirinya jika terpaksa lama menunggu.

SAHARUL dan isterinya, Qaabila Deena Emir. - Foto Instagram

SAHARUL kini mula kembali ke gimnasium bagi mengelak tubuhnya semakin 'mengembang'. - Foto Aziah Azmee

"Begitupun setakat ini, alhamdulillah saya tidaklah perlu pulang terlalu lewat ke rumah. Saya pun tidak pernah meletakkan syarat mengenai masa kepada pihak produksi. Namun, saya dapat rasa produksi sendiri yang mula peka dan faham situasi saya ketika ini," katanya.

Menurut Saharul, beliau juga sentiasa berhubungan dengan isteri, menyedari tanggungjawab yang terpikul di bahu masing-masing. Apatah lagi dengan adanya teknologi terkini, mereka tidak mempunyai masalah untuk saling berkomunikasi dan mengetahui perkembangan diri masing-masing.

"Kalau keluar berjumpa kawan pun, saya selalu mengingatkan diri yang isteri keseorangan di rumah. Begitupun, ia bukanlah kerana soal 'takutkan bini' atau seumpamanya, sebaliknya semua itu lahir atas kesedaran rasa tanggungjawab hidup berdua," katanya.

Mengenai telefilem Trauma, Saharul memegang watak sebagai Budin, pemuda yang digambarkan sebagai kurang keyakinan diri dan pernah mengalami trauma. Selain dirinya, telefilem keluaran JS Pictures itu turut dilakonkan Janna Nick, Zara Zya, Idris Khan, Raja Afiq dan Dayana Roza.

"Budin dan karakter lain yang ada dalam telefilem ini masing-masing pernah berdepan pelbagai pengalaman menakutkan. Budin umpamanya berdepan trauma selepas abangnya dibaham buaya. Sejak insiden itu juga Budin mula gagap, kurang yakin dan gemar mengulangi percakapannya beberapa kali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saharul dan isteri akan terbang ke Mesir bagi menjalani penggambaran program Romantika, bermula 2 hingga 7 November hadapan. Kemudian, beliau akan ke lokasi penggambaran Padamu Ku Bersujud pula, terbitan A Aida Production.

KEHIDUPAN Saharul kini semakin teratur sejak kehadiran Deena. - Foto Saifullizan Tamadi

SAHARUL mendirikan rumah tangga pada 16 September lalu. - Foto Aziah Azmee
SAHARUL tercalon dalam kategori Online pada ABPBH ke-29. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SELEPAS hampir dua bulan hidup bersama, Saharul dan Deena masih lagi dalam proses untuk saling mengenali. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X