Isnin, 31 Oktober 2016 | 12:34pm

WikiLeaks akan dedahkan pula mengenai pilihan raya AS

LONDON: Pertubuhan anti-kerahsiaan WikiLeaks merancang untuk mendedahkan dokumen terbaharu berkaitan pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2016 tidak lama lagi.

Organisasi yang mendedahkan dokumen sulit itu semalam memberi amaran kepada ahli politik di Twitter akan mendedahkan dokumen terbaharu, kebanyakannya menjurus ke arah kempen calon Demokrat Hillary Clinton.

Dalam tweet yang sama, pengasas WikiLeaks, Julian Assange yang kini menetap di kedutaan Ecuador di London, turut menggesa penyokong untuk membuat sumbangan kepada organisasi itu.

Pasukan kempen Clinton agak terjejas berikutan skandal penggunaan pelayan e-mel peribadi bekas Setiausaha Negara AS itu pada 2009 hingga 2013. Ia diburukkan lagi apabila FBI membuka kembali siasatan susulan penemuan dokumen baru oleh WikiLeaks.

Sementara itu, media Amerika melaporkan dokumen terkini yang diperoleh itu mungkin bukan saja mengenai Clinton.

Assange sebelum ini menegaskan beliau juga akan mendedahkan sebarang dokumen mengenai Trump sekiranya dokumen itu diperoleh. - Agensi

68 dibaca
Berita Harian X