Isnin, 31 Oktober 2016 | 3:02pm

Remaja Malawi edar dadah terlepas hukuman gantung


SEORANG remaja perempuan terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah, tiga tahun lalu. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Seorang remaja perempuan terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Collin Lawrence Sequerah, menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenan Yang Dipertua Negeri atau Yang di-Pertuan Agong terhadap tertuduh warga Malawi itu, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, tertuduh berusia 17 tahun 11 bulan dan ditakrif sebagai kanak-kanak mengikut Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2011 ketika didakwa melakukan kesalahan itu.

"Mengikut Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh diumum atau direkodkan terhadap tertuduh.

"Berdasarkan Seksyen 97 (2) akta sama, hanya ada satu ayat sebagai ganti hukuman mati iaitu memerintahkan orang yang disabitkan atas sesuatu kesalahan pembunuhan itu dipenjara selama yang diperkenankan oleh Yang Dipertua Negeri atau Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja terbabit didakwa memiliki dan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,775.4 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, kira-kira jam 10.20 pagi pada 5 Oktober 2013.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azrul Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Tony Chew dan Hussaini Abdul Rashid.

Berita Harian X