Isnin, 31 Oktober 2016 | 3:57pm

Kenyataan Guan Eng berunsur hasutan - PCM


NAIB Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan (dua dari kanan) menunjukkan laporan yang dibuat mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dimuat naik dalam sebuah portal di Balai Polis Perai, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. - Foto Zulaikha Zainuzman

BUTTERWORTH: Parti Cinta Malaysia (PCM) meminta polis menyiasat satu kenyataan yang didakwa dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam sebuah portal berita kerana dipercayai berunsur hasutan.

Naib Pengerusinya, Datuk Huan Cheng Guan, berkata kenyataan bertajuk 'Leave BN if autonomy deadline not met', yang merujuk supaya parti politik di Sarawak meninggalkan Barisan Nasional (BN) dilihat cukup berbahaya jika ia disalah tafsir masyarakat, khususnya rakyat Sarawak sendiri.

Beliau berkata, kenyataan Guan Eng itu seolah-olah cuba menghasut dengan meminta rakyat di Sarawak supaya membawa negeri itu keluar dari Malaysia.

"Kenyataan sebegini dilihat cukup bahaya dan perlu dipandang serius kerana ia boleh disalah tafsir sesiapa sahaja khususnya rakyat di Sarawak kerana mengandungi unsur hasutan.

"Oleh itu, saya minta polis menjalankan siasatan dengan menggunakan undang-undang sedia ada dan mengambil tindakan lanjut jika perlu," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Perai, di sini, hari ini.

Dalam laporan portal berita berkenaan, Guan Eng dipetik berkata, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan parti politik Sarawak perlu menarik diri daripada BN jika parti pemerintah gagal memenuhi tuntutan hak kuasa autonomi yang diminta ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, April lalu.

Ini kerana, katanya, yang dipetik daripada portal berita itu, BN harus diajar dan diingatkan bahawa tanpa Sarawak, tidak ada Malaysia, begitu juga tanpa sokongan Ahli Parlimen Sarawak, BN akan kehilangan kuasa persekutuan.

199 dibaca
Berita Harian X