Isnin, 31 Oktober 2016 | 4:37pm

Jelajah perjelas Pelan Tindakan OKU 2016-2022

ALOR SETAR: Semua pihak berkepentingan dalam isu berkaitan orang kelainan upaya (OKU) digesa berkongsi sumber, baik dalam bentuk kewangan atau kepakaran untuk sama-sama membangunkan golongan itu selaras Pelan Tindakan OKU 2016-2022.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Zulkiply Ramli, berkata Pelan Tindakan OKU 2016-2022, yang mempunyai 10 teras strategik itu adalah dokumen menterjemahkan Dasar Orang Kurang Upaya dalam bentuk aktiviti dan program, yang memerlukan pembabitan semua pihak berkepentingan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama JKM kini giat mengadakan program jelajah mengikut zon ke seluruh negara bagi mempromosi dan menyampaikan maklumat kepada pelaksana dan pihak yang terbabit dalam pembangunan OKU, termasuk komuniti OKU sendiri dalam merealisasikan pelan tindakan itu.

"Jelajah ini bertujuan memberi pencerahan berkenaan peranan semua pihak yang terbabit dalam memberi sokongan dan dokongan bagi memastikan pelan tindakan ini dapat dijayakan mengikut kerangka kerja disasarkan.

"Selain itu, jabatan juga akan meneruskan kempen pendaftaran OKU bagi menggalakkan golongan berkenaan yang belum berdaftar untuk mendaftar, sekali gus membolehkan mereka menikmati kemudahan disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Roadshow Pelan Tindakan OKU 2016-2022 Zon Utara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Anak Bukit, di sini, hari ini.

Zulkiply berkata, komuniti OKU harus membuktikan mereka mampu menyumbang dan berkerjasama dengan semua pihak seiring kemudahan disediakan kerajaan atau swasta, kerana mereka juga terbabit secara langsung dalam menjayakan agenda pembangunan negara berteraskan idea inklusiviti seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Berita Harian X