Selasa, 1 November 2016 | 12:08am

Muhamad Ashraf terlepas peluang bersekolah

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terlepas peluang bersekolah secara formal apabila dianggap bukan warga negara walaupun bapanya rakyat tempatan.

Masalah kanak-kanak itu, Muhamad Ashraf, bermula apabila sijil kelahirannya tidak dicatatkan maklumat berkaitan bapa ketika dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 2007.

Penjaga kanak-kanak itu yang juga bapa angkatnya, Hassan Ali, 73, berkata ibu Muhamad Ashraf, Nasia Mangsar, 40, rakyat Indonesia, berkahwin di Pattani, Thailand, pada 8 September 2006, dengan seorang lelaki tempatan berasal dari Pahang.

Pada masa ini, kanak-kanak itu hanya mengikuti kelas fardu ain di Sekolah Rendah Agama Jam'iyyah (SRAJ), Air Panas, Setapak yang dimiliki oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas dasar ihsan.

Hassan berkata bapa kanak-kanak itu menghilangkan diri ketika dia dilahirkan menyebabkan sijil kelahirannya tidak ada maklumat bapa sekali gus dianggap anak tidak sah taraf.

Bagaimanapun, katanya, bapa kanak-kanak itu dan ibunya memiliki surat pengesahan nikah di Pattani, Thailand dan surat pengesahan kelahiran Ashraf di HKL pada Julai 2007 namun sijil kelahirannya merekodkan tiada maklumat bapa.


ASHRAF menunjukkan suntikan BCG pada lengannya yang mengesahkan kelahiran beliau di Hospital Kuala Lumpur. - Foto Azhar Ramli

Ibu kanak-kanak itu menyerahkannya kepada Hassan yang juga bekas majikannya kerana kesempitan hidup.

Satu akuan sumpah dibuat ibu kanak-kanak itu yang mengesahkan penyerahan berkenaan kepada Hassan, 73 pada 31 Disember 2012.

Hassan pernah membantu Nasia mendaftarkan perkahwinannya di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada Disember lalu tetapi kes itu dirujuk ke beberapa pejabat agama daerah dan yang terakhir di Pejabat Agama Daerah Chenor.

Katanya, usaha itu terhenti apabila terlalu banyak karenah birokrasi terpaksa dilalui termasuk Nasia dikehendaki mendapatkan pengesahan mastautin dari ketua kampung.

Beliau berkata mereka terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pahang beberapa kali kerana permohonan pendaftaran pernikahan dan penyiasatan dilakukan di negeri berkenaan.

Katanya, Pejabat Agama Islam Daerah Chenor, Pahang merujuk kes pendaftaran luar kariah itu ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan tetapi tidak ada apa apa berlaku sehingga ini.


ASHRAF (kanan) menunjukkan sijil pendaftaran kelahiran yang tidak mempunyai maklumat ayahnya yang bertaraf warganegara sambil ditemani oleh penjaganya, Hassan. - Foto Azhar Ramli

Beliau mendakwa bukan sahaja sijil kelahiran, Ashraf turut memiliki rekod pembedahan di HKL selepas beberapa bulan dilahirkan kerana kegagalan sistem penghadamannya dan menerima rawatan sehingga sembuh.

"Saya terpaksa menanggung hutang RM7,000 dengan HKL bagi kos pembedahan, rawatan dan ubat-ubatan Ashraf kerana dia diberi status bukan warga negara.

"Saya difahamkan jika warga negara ini berkahwin dengan rakyat asing, anak mereka sepatutnya automatik menjadi warga negara ini," katanya.

BH sebelum ini melaporkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan 159,725 kelahiran anak tidak sah taraf di seluruh negara bagi tempoh tiga tahun, bermula 2013.


UNDANG-UNDANG berkaitan kewarganegaraan. - Foto Azhar Ramli

PERATURAN pendidikan sekolah. - Foto Azhar Ramli

Berita Harian X