Selasa, 1 November 2016 | 1:04am

Agong rai pasukan bola sepak Kedah

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pasukan bola sepak Kedah yang menjuarai Piala Malaysia 2016 di Dewan Serbaguna Istana Negara, malam tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pasukan bola sepak Kedah yang menjuarai Piala Malaysia 2016 di Dewan Serbaguna Istana Negara, malam tadi.

Turut berangkat Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah berkata, majlis itu memperlihatkan betapa bola sepak cukup menjadi perhatian Yang di-Pertuan Agong yang sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan sukan berkenaan di Kedah.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata kejayaan menjulang Piala Malaysia itu adalah kelima buat Kedah dan sehingga kini pasukan Hijau Kuning sudah mengharungi perlawanan akhir sebanyak 12 kali selepas kali pertama pada 1940.

"Kemenangan pada malam semalam adalah lambang semangat muafakat berpasukan, usaha gigih barisan jurulatih, pihak pengurusan dan seluruh pemain yang mempamerkan semangat kental berfalsafahkan 'Anak Kedah Pantang Kalah'.

"Kejayaan tahun ini juga membawa makna tersendiri dan menjadi hadiah paling istimewa sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.

Kedah berjaya menjulang Piala Malaysia 2016 apabila menewaskan juara bertahan Selangor 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan di Stadium Shah Alam.

Kemenangan itu membolehkan Kedah meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima selepas memenangi pertandingan bola sepak berprestij tanah air itu pada 1990, 1993, 2007 dan 2008. - BERNAMA

Berita Harian X