Selasa, 1 November 2016 | 1:34pm
3 ditahan susulan tuntutan palsu projek RTB Sungai Kedah

3 ditahan susulan tuntutan palsu projek RTB Sungai Kedah

Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengiringi seorang daripada tiga suspek bagi membantu siasatan kes berhubung membuat tuntutan palsu bagi Projek Tebatan Banjir (TBT) berjumlah RM400,000 pagi tadi di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah Jalan Sultan Badlishah. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki termasuk seorang pegawai di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah yang dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM400,000 untuk satu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Kedah.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di pejabat SPRM di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi ketika masing-masing dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sumber berkata, selain pegawai di GLC berkaitan utiliti itu, dua lagi suspek adalah kontraktor yang dipercayai berpakat dengan pegawai itu mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah.

"Tuntutan dikemukakan itu bagi kerja menaik taraf Sungai Tanjung Pauh, Terusan Utama dan Terusan Utara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Sungai Anak Bukit serta kerja berkaitan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit di negeri ini.

"SPRM menerima aduan mengenai tuntutan RM400,000 yang menjadi sebahagian daripada nilai keseluruhan projek berjumlah RM1.5 juta itu daripada pengadu yang mengesan keraguan kerana selepas tuntutan dibuat, kerja pelaksanaan tidak berjalan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, mengesahkan penahanan suspek yang kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Berita Harian X