Selasa, 1 November 2016 | 3:51pm

Idris, Pekin kongsi syarikat terbitkan filem

IDRIS Khan dan Pekin Ibrahim. - Foto NSTP
IDRIS Khan dan Pekin Ibrahim. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Daripada persahabatan yang terjalin secara tanpa disangka, Idris Khan dan Pekin Ibrahim akhirnya menubuhkan syarikat penerbitan mereka sendiri, Centro Pictures.

Diasaskan dengan sokongan beberapa rakan kongsi lain, syarikat produksi terbabit kini melunaskan penerbitan filem KL Wangan yang sedang rancak menjalani penggambaran.

Sebelum itu, kedua-dua pelakon terbabit menerbitkan dokumentari berjudul Madness Of Borneo di bawah syarikat KL Media.

Menurut Idris, persahabatannya dengan Pekin memang terjalin tanpa dirancang, apatah lagi dirinya masih begitu hijau di arena terbabit manakala bintang Bunohan itu pula sudah pun bertahun-tahun menimba pengalaman di dunia seni.

"Persahabatan antara kami memang terjadi di luar jangkaan masing-masing. Kami mula berkawan apabila masing-masing ditemukan dalam sebuah acara, tahun lalu.

"Selesai saja acara berkenaan, kami duduk berkumpul dan bersembang. Pada masa sama, masing-masing turut berkongsi cerita dunia seni. Sudah tentu saya bangga apabila Pekin memaklumkan beliau turut menonton lakonan saya, malah berasakan saya mampu melangkah jauh di bidang ini.

"Malah, beliau juga tidak lokek memberikan nasihat dan berkongsi segala segi aspek lakonan bersama saya," katanya sambil memaklumkan, sejak itu beliau dapat berasakan keserasian antara dirinya dengan aktor dan pengarah terbabit.

"Bermula dengan kerjasama menerusi KL Media, kami kemudiannya menubuhkan syarikat produksi filem, Centro Pictures. Sehingga ke hari ini saya tidak menyangka persahabatan yang terjalin itu sampai ke tahap ini," katanya yang menghargai setiap sokongan dihulurkan pelakon berpengalaman itu kepadanya.

Kata pelakon Mr Donat Karamel yang kini menemui penonton menerusi saluran TV3 itu, mereka turut merancang penerbitan filem seterusnya pada 2017.

"Kami akan menerbitkan filem kedua berjudul Anarki, sekitar pertengahan tahun hadapan. Malah, Pekin juga memberitahu beliau mahu menghasilkan filem Mat Moto 2 selepas ini," katanya.

Berita Harian X