Selasa, 1 November 2016 | 10:17pm

Keyakinan pengguna Malaysia stabil pada suku ketiga: Nielsen

MALAYSIA mencatatkan paras keyakinan pengguna stabil dalam suku ketiga 2016 dengan kenaikan hanya dua mata indeks kepada 89 mata peratusan berbanding suku kedua 2016, demikian menurut Kajian Global Keyakinan Pengguna dan Hasrat Perbelanjaan Nielsen.

Nielsen berkata, walaupun Malaysia adalah negara ke-30 paling yakin di peringkat global, ia berada di kedudukan paling rendah di rantau Asia Tenggara dan terus pesimis tentang masa depan.

Kaji selidik itu membabitkan lebih 30,000 responden dengan akses Internet di 63 negara. Paras keyakinan pengguna di atas dan di bawah garis dasar 100 masing-masing menunjukkan darjah optimis dan pesimis.

Pengurus Negara Nielsen Malaysia, Richard Hall, berkata dengan sedikit perubahan dalam prospek ekonomi negara, kadar pertukaran rendah ditambah dengan harga minyak tidak stabil, tidak banyak rangsangan bagi pengguna untuk mengalihkan minda mereka pada prospek masa depan negara.

"Justeru, tidak mengejutkan melihat suku ketiga Indeks Keyakinan Pengguna bagi Malaysia agak stabil tetapi masih di bahagian pesimis," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut kaji selidik Nielsen itu, kebimbangan utama rakyat Malaysia masih berlegar sekitar ekonomi dan jaminan pekerjaan, dengan 77 peratus pengguna percaya negara ini berada dalam kemelesetan.

Rancangan untuk menabung bagi masa depan kekal menjadi keutamaan di Asia Tenggara, kata Nielsen.

Pengguna di rantau ini terus disenaraikan sebagai 10 penabung utama paling aktif di dunia dengan Vietnam di kedudukan teratas (78 peratus) diikuti Indonesia (77 peratus) ditempat kedua. Malaysia dan Singapura masing-masing berada di kedudukan keenam (65 peratus), Thailand di kedudukan kelapan (62 peratus) dan Filipina tempat kesembilan (60 peratus).

Bagi pembiayaan dan menetapkan sasaran untuk tabungan dan pelaburan, dua daripada lima rakyat Malaysia menyimpan sebarang tunai lebihan selepas memperuntukkan bagi perbelanjaan hidup yang penting untuk membayar hutang, kad kredit atau pinjaman (40 peratus) manakala satu pertiga melabur dalam saham atau dana bersama (34 peratus).

Sekurang-kurangnya satu suku rakyat Malaysia juga merancang untuk hari tua mereka dengan menyimpan wang lebihan mereka dalam bentuk dana persaraan (26 peratus), kata Nielsen. - Bernama

Berita Harian X