Isnin, 1 Disember 2014 | 12:08pm

Prayut diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana

PRAYUT Chan-Ocha (kiri) diiringi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim (dua dari kiri) memeriksa kawalan kehormat sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk lawatan rasmi pertama beliau di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha yang tiba di sini untuk lawatan rasmi pertama sejak dilantik memegang jawatan itu, diberi sambutan penuh istiadat di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Ketibaan beliau disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Prayut kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Perdana Menteri Thailand itu diiringi delegasi 19 anggota yang terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan dan panglima besar tentera, Timbalan Menteri Pengangkutan dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri-menteri kabinet, diplomat asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Prayut dan Najib kemudian mengadakan pertemuan empat mata diikuti dengan mesyuarat delegasi.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi tuan rumah majlis rasmi makan tengah hari bagi meraikan Prayut dan delegasi Thailand di Seri Perdana.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu adalah yang pertama Prayut ke Malaysia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada 25 Ogos lalu.

Tujuan lawatan ini adalah untuk membina hubungan baik dengan Najib dan meninjau kemajuan hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua buah negara.

Lawatan itu juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka jalan bagi mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti proses dialog perdamaian selatan Thailand, perdagangan dan pelaburan, projek penghubung infrastruktur di sepanjang kawasan sempadan, pengangkutan dan pendidikan.

- BERNAMA

Berita Harian X