Rabu, 2 November 2016 | 3:21pm

MH370: Pesawat tidak bersedia untuk mendarat - Laporan

SYDNEY: Pesawat MH370 milik Malaysian Airline dipercayai tidak boleh dikawal ketika ia menjunam ke dalam lautan, dengan sayap tidak dikembangkan untuk mendarat, menurut satu laporan baharu hari ini.

Laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia mendapati komunikasi satelit terakhir pesawat berkenaan "konsisten dengan pesawat berada pada kadar penurunan semakin laju" apabila ia hilang.

Analisis ke atas bukaan sayap kanan yang ditemui di Tanzania, menunjukkan "ia berkemungkinan dalam kedudukan tertutup ketika ia terpisah dari sayap, menunjukkan ia tidak bersedia untuk mendarat sebelum terhempas ke lautan.

Biro itu menyatakan keluasan kawasan pencarian adalah sesuai untuk merangkumi semua kadar penurunan tidak terkawal.

"Laporan ini mengandungi maklumat penting baharu mengenai apa yang kami percaya berlaku pada akhir pesawat MH370," kata Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester, pada permulaan pertemuan tiga hari di Canberra, menyaksikan pakar akan merangka fasa akhir pencarian.

Pesawat Boeing 777 itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, bersama 239 penumpang dan kru.

Biarpun pencarian bawah laut besar-besaran dilakukan di luar pantai Australia Barat, tiada kesan pesawat itu ditemui.

Penyiasat, bagaimanapun mengesahkan tiga keping serpihan yang ditemui sepanjang pesisiran pantai Lautan Hindi itu adalah milik pesawat berkenaan.

Usaha mencari sudah merangkumi 110,000 kilometer persegi setakat ini dan operasi dijangka berakhir awal 2017. - AFP

89 dibaca
Berita Harian X