Rabu, 2 November 2016 | 5:07pm

TH nafi tak mampu bayar pendeposit


PENGARAH Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah pada Sidang Media di Menara Tabung Haji Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan kononnya tidak berupaya membayar semula pendeposit jika mereka mengeluarkan keseluruhan simpanan pada 31 Disember tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Johan Abdullah, berkata dakwaan Tabung Haji akan mengalami defisit RM3.09 bilion jika pendeposit mengeluarkan simpanan adalah kerugian tidak nyata yang tidak perlu ditolak daripada keuntungan tahun itu.

"TH tidak akan membayar bonus melainkan jumlah aset lebih tinggi daripada liabiliti bagi tahun berkenaan.

"Ini bermakna apabila TH membayar bonus, ia dapat memenuhi kewajipan terhadap pendeposit," katanya pada taklimat media mengenai kedudukan kewangannya di sini, hari ini.

Johan berkata, pihaknya memiliki aset boleh tunai bernilai RM64.74 bilion berbanding RM4.97 bilion simpanan bersih pendeposit pada tempoh itu.

"Setiap simpanan pendeposit TH adalah mengikut konsep Al Wadiah Yad Dhamanah, iaitu simpanan dijamin kerajaan.

"TH tidak bersandarkan simpanan bersih pendeposit untuk membayar bonus, sebaliknya daripada keuntungan.

"Jangan politikkan TH kerana kami sentiasa bekerja keras untuk kesejahteraan jemaah dan pendeposit.

"Dakwaan tidak tepat terhadap TH akan menyebabkan orang awam keliru dan mengeluarkan deposit, menyebabkan mereka kehilangan giliran menunaikan haji seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mendakwa pengendali ibadat haji itu berdepan kedudukan kewangan lemah.

Berita Harian X