Rabu, 2 November 2016 | 7:30pm

Pelbagai program sempena Level Up KL

KUALA LUMPUR: Media Prima Labs (MP Labs) komited untuk menjadi platform yang serius dalam dunia digital.

Walaupun belum sampai setahun dalam industri pembangunan aplikasi dan permainan, anak syarikat Media Prima Berhad (MPB) itu dipelawa menyertai Level Up KL, iaitu program anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Program itu adalah acara industri utama di Asia Tenggara dalam pembangunan permainan yang mengumpulkan pemain tempatan, serantau dan antarabangsa di InterContinental Kuala Lumpur, 5 hingga 9 November ini.

MP Labs akan mengadakan pelbagai acara sepanjang lima hari, antaranya menggodam atau hackaton selama 36 jam pada 5 hingga 6 November ini di Makespace, Quill City Mall di sini, dengan 99 peserta berdaftar dari Taiwan, Indonesia, Thailand, Poland, Mesir, Filipina dan Singapura.

MP Labs turut menganjurkan Projek Padanan Indie pada 8 hingga 9 November ini di InterContinental KL yang akan disertai pelukis, artis, pereka grafik dan pembangun program.

Peserta juga boleh menyertai sesi perkongsian eksklusif bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 9 November ini.

Beberapa pakar industri termasuk dari pembangun permainan dan peneraju pasaran data terkenal dunia iaitu Streamline Studios serta AppAnnie akan berkongsi pengetahuan secara eksklusif.

Peserta yang ingin menghadiri sesi percuma boleh menempah slot menerusi mplabs-levelupkl2016.eventbrite.com sebelum 4 November ini.

Sementara itu, Pengarah Kandungan Kreatif dan Bahagian Teknologi MDeC, Hasnul Hadi Samsudin, dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menerusi Level Up KL akan menjadi perhatian dunia di samping mencungkil bakat baharu pada acara itu.

Berita Harian X