Khamis, 3 November 2016 | 12:04am

"Mr Pilot" Fattah Amin mahu gapai status PhD

KUALA LUMPUR: Pada era digital ini, bakat dan pakej wajah tampan atau jelita yang dimiliki artis bukanlah jaminan mereka mampu mencapai tahap lebih tinggi dalam kerjaya.

Tanpa kelayakan akademik, artis yang tidak berwawasan sekadar menjadi tempelan. Malah, anda antara selebriti dilabel 'bimbo' hingga kehadiran mereka tidak dipandang serius, sebaliknya sekadar menjadi bahan gosip.

Menyedari pentingnya menimba ilmu untuk mengangkat martabat diri, pelakon Fattah Amin dan Pekin Ibrahim serta penyanyi, Tomok, sepakat menyambung pengajian dalam bidang industri kreatif bersama Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUMKL).

Ketika ini, masing-masing sudah pun berada dalam semester ketiga pengajian.

Lebih mengujakan, pengorbanan mereka mengikuti kuliah dan membuat tugasan berbaloi apabila masing-masing menerima Anugerah Dekan.

SERAMAI 34 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM), UUM yang terdiri daripada selebriti tanah air menerima sijil Anugerah Dekan, di Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Rohanis Shukri

Ramai peminat tidak menyedari hero 'hot', Fattah menyambung pengajian dalam bidang industri kreatif ketika dirinya sibuk dengan penggambaran.

Sedar kepentingan pendidikan, Fattah nekad menambah ilmu pengetahuan dan memiliki segulung ijazah.

"Tak ramai orang tahu selain berlakon, saya juga pelajar separuh masa selama lima tahun. Walaupun sebagai selebriti kita ada pengalaman luas dalam bidang seni, namun kita dianggap kosong jika tidak mempunyai pendidikan tinggi.

"Pengalaman kita boleh dapat, tetapi ilmu kita kena cari. Saya mengambil keputusan untuk sambung belajar kerana memikirkan masa depan. Ini semua persediaan apabila diri tidak lagi diperlukan dalam industri," katanya kepada BH Plus.

FATTAH Amin antara selebriti menerima Sijil Anugerah Dekan, UUMKL. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Fattah yang popular dengan drama bersiri Suri Hati Mr Pilot yang menggandingkan dirinya dengan aktres jelita, Neelofa, yakin ilmu dan pendidikan mampu menjamin masa depan sesiapa saja.

"Insya-Allah, kalau ada peluang, saya ingin menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD)," katanya.

Dibantu pengurusnya, Fattah mudah membahagikan masa antara karier seni dan pengajian.

"Saya agak beruntung kerana mempunyai pengurus yang mengatur jadual kerja dan belajar.

"Kalau saya sibuk dengan pengajian, saya tidak mahu diganggu dengan jadual penggambaran dan mengosongkan jadual kerja untuk menumpukan perhatian kepada kelas," katanya.

PELAKON, Pekin antara selebriti menerima Sijil Anugerah Dekan, UUMKL. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Sambung belajar selepas 20 tahun

Membuka semula buku nota dan ilmiah selepas hampir 20 tahun menjadi anak seni, Pekin mula menyedari pentingnya artis menimba ilmu.

"Apabila saya menyambung pengajian, saya nampak banyak peluang daripada kita duduk menunggu tawaran berlakon. Dalam bidang ini, saya dapat belajar macam mana hendak menjana ekonomi dalam bidang seni.

"Sebaik menyambung pengajian, saya mendapat banyak manfaat untuk membina dan memulakan perniagaan. Kita didedahkan dengan bagaimana kita dapat mereka peluang. Bahkan, kita dapat belajar membahagikan masa sebagai pelajar dan bekerja," katanya.

Sanggup membahagikan masa demi masa depan yang cerah dan mengurangkan aktiviti seni memberi ruang kepada pelakon yang juga penerbit ini menumpukan perhatian kepada pengajian.

"Kalau kita dapat kawal kerja kita, kita dapat membahagikan masa untuk belajar. Kalau dulu, masa saya banyak diberikan kepada kerja sehinggalah saya sedar yang saya tidak dapat apa-apapun dalam hidup.

"Apabila ada masa yang teratur untuk pelajaran dan kerjaya, hasilnya alhamdulillah. Saya terima Anugerah Dekan dan ini satu pencapaian yang membangkitkan lagi semangat saya dan kawan-kawan untuk memberi lebih banyak sumbangan kepada industri," katanya.

TOMOK mengaku keputusan menyambung pelajaran dapat membuka mata masyarakat yang sering memandang golongan artis sebagai tidak berpendidikan. - Foto Munira Abdul Ghani

Buka mata masyarakat

Bagi Tomok, tawaran UUMKL dianggap peluang keemasan selain dapat memberi contoh kepada peminat.

Tomok mengaku keputusan menyambung pelajaran dapat membuka mata masyarakat yang sering memandang golongan artis sebagai tidak berpendidikan.

Selain menjadi contoh berguna kepada golongan muda untuk mengutamakan pendidikan, tujuan Tomok menyambung pengajian adalah untuk menambah pengetahuan.

"Sebagai artis, menjadi tanggungjawab saya untuk menunjukkan contoh yang baik kepada peminat. Ini yang mendorong saya untuk meneruskan pengajian dalam bidang industri kreatif.

"Alhamdulillah, saya ada lagi masa tiga tahun untuk habiskan. Saya berharap dapat menimba ilmu lebih banyak serta dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang," katanya.

Tidak mempunyai masalah dalam membahagikan masa untuk pengajian dan bidang seni, penyanyi berusia 32 tahun ini yang ditemui pada majlis perasmian Academia Cafe & Bistro UUMKL, Selasa lalu, memberitahu, waktu pengajian yang fleksibel memudahkannya untuk menguruskan masa.

"Kelas hanya dua atau tiga kali saja dalam sebulan. Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya aturkan waktu kerja dan kelas. Saya masih boleh menerima tawaran menyanyi tanpa ada masalah," katanya.

PELAKON, Abdul Fattah Mohd Amin atau dikenali Fattah Amin. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
Berita Harian X