Khamis, 3 November 2016 | 8:31am

Tunjuk perasaan bantah Gabenor Jakarta esok

 BASUKI Tjahja Purnama.
BASUKI Tjahja Purnama.

JAKARTA: Ribuan penduduk Islam Indonesia dijangka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran esok bagi membantah kenyataan Gabenor Jakarta, seorang penganut Kristian dan etnik Cina pertama memegang jawatan itu, yang didakwa menghina al-Quran.

Polis menyiasat Ahok kerana dakwaan memfitnah agama, selepas beliau berkata pencabarnya memperdaya pengundi dengan menyerangnya menggunakan ayat al-Quran.

Ahok sudah meminta maaf berhubung kenyataan itu.

Polis Jakarta berkata, puluhan akaun media sosial didapati menyiarkan kenyataan dan imej provokatif dan menggesa orang ramai bertindak ganas atas nama Islam terhadap Basuki Tjahja Purnama, lebih dikenali dengan nama panggilan Ahok, termasuk desakan membunuhnya.

"Kami melihat ada kenyataan berunsurkan perkauman dan etnik yang boleh memecah belahkan masyarakat disebarkan menerusi internet dan kebanyakannya anti-Cina," kata jurucakap polis Jakarta, Awi Setiyono.

Beliau berkata, polis meningkatkan rondaan dan memantau internet bagi mempamerkan kekuatan menjelang perhimpunan esok.

Kira-kira 18,000 anggota polis dan tentera akan ditempatkan pada hari tunjuk perasaan.

Pengkritik, bagaimanapun, menyelar kerajaan kerana tidak bertindak secukupnya untuk membendung kumpulan konservatif Islam yang menyemarakkan ketegangan agama dan etnik menjelang pilihan raya gabenor Jakarta tahun depan, yang turut ditandingi Ahok.

"Pemimpin politik Indonesia membenarkan golongan konservatif merampas momentum dan membangkitkan kebencian berunsurkan agama terhadap gabenor, selama lebih sebulan tanpa mencabar kaedah atau hujah mereka," kata pakar keselamatan, Sidney Jones.

Pemimpin tertinggi penganjur bantahan itu, Barisan Pertahanan Islam (FPI), menegaskan bantahan esok akan dibuat secara aman.

"Ini bukan tindakan anti-Kristian atau anti-Cina," kata Habib Riziek. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X