Khamis, 3 November 2016 | 2:35pm

Tan Sri Osman Aroff akan dimasyhur Pro-Canselor UUM

ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff akan dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu pada istiadat konvokesyen UUM ke-29 yang akan diadakan pada 12 November ini.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata Osman adalah bekas Menteri Besar Kedah pertama dilantik Pro-Canselor UUM yang berkuatkuasa sejak 1 September lalu.

Katanya, pelantikan bekas pemimpin berusia 76 tahun kelahiran Jitra itu bagi menggantikan bekas Yang Dipertua Dewan Negara ke-14, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

"UUM akan memulakan istiadat konvokesyen dengan pemasyhuran Osman sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu pada sesi pertama majlis itu, Sabtu depan," katanya pada sidang media sempena pengumuman majlis konvokesyen UUM ke-29, di sini, sebentar tadi.

Majlis konvokesyen itu akan berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 November ini di Dewan Mu'adzam Shah, UUM, dekat sini.

Konvokesyen kali ini membabitkan 6,737 graduan menerima ijazah masing-masing dalam lapan sesi membabitkan 208 graduan Ijazah Doktor Falsafah; Doktor Pengurusan (tiga); Doktor Pentadbiran Perniagaan (34); Ijazah Sarjana (1,200) Ijazah Sarjana Muda (5,225) dan Diploma Siswazah Dalam Pendidikan (67).

UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen bermula 9 hingga 16 November ini di Tapak Ekspo Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan kawasan sekitar universiti berkenaan.

Mohamed Mustafa berkata, antara yang istimewa pada majlis konvokesyen kali ini ialah pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) kepada Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Samsudin Osman dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) kepada Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Ramly Mokni.

"Canselor UUM, Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah itu kepada dua tokoh berkenaan," katanya.

Berita Harian X