Khamis, 3 November 2016 | 3:38pm

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Perak, Sabtu ini

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan. - Foto Muhaizan Yahya
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Istiadat penganugerahan darjah kebesaran kesultanan Perak akan diadakan pada Sabtu ini walaupun sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, akan disambut esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, berkata istiadat berkenaan yang juga acara kemuncak sambutan ulang tahun keputeraan baginda itu akan diadakan pada sebelah pagi di Istana Iskandariah sebelum disambung pada 12 November depan.

"Bagi menyemarakkan lagi sambutan berkenaan, kerajaan negeri sudah mengaturkan beberapa program membabitkan semua daerah di negeri ini.

"Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim juga berkenan berangkat ke beberapa program diaturkan sempena hari keputeraan baginda," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Puhat berkata, acara pembuka tirai sambutan itu bermula esok dengan dua program di Kuala Kangsar iaitu majlis kesyukuran, bacaan Yasin dan tahlil pada jam 12 tengah hari di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar serta Majlis Bersama Rakyat di Pesisiran Sayong Kuala Kangsar pada jam 4.30 petang yang dijangka menarik kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

Beliau berkata, majlis kesyukuran itu akan turut diadakan serentak di semua masjid daerah dan seluruh masjid lain di negeri itu.

Katanya, seramai 5,000 peserta pula dijangka menyertai Larian Hari Keputeraan di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar bermula jam 6.20 pagi pada 13 November ini.

"Selain itu, pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 negara iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan pemenang gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh) dijangka turut hadir ke Dataran Pavillion, Kuala Kangsar bagi memeriahkan lagi sambutan Larian Hari Keputeraan edisi tahun ini," katanya.

Berita Harian X