Khamis, 3 November 2016 | 5:42pm
SEBUAH balai bomba perlu dibina di daerah Putatan secepat mungkin bagi membolehkan bomba mengambil tindakan segera bagi menangani sebarang kes kecemasan. - Foto hiasan

Daerah Putatan perlu ada balai bomba

PUTATAN: Sebuah balai bomba perlu dibina di daerah ini secepat mungkin bagi membolehkan bomba mengambil tindakan segera bagi menangani sebarang kes kecemasan, termasuk tiba di lokasi dengan lebih pantas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata keperluan membina balai bomba di daerah ini semakin mendesak berikutan jumlah penduduk yang padat iaitu kira-kira 100,000 orang, selain faktor kepesatan pembangunan dengan kedudukannya berhampiran ibu negeri.

Katanya, kerajaan sudah menyediakan sebuah tapak bagi tujuan itu di pekan Putatan dan kini hanya menunggu maklum balas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melaksanakannya.

"Kita amat memerlukan sebuah balai bomba sendiri di daerah ini, tapaknya sudah ada tetapi belum dilaksanakan. Kita berharap ia dapat dibina secepat mungkin, apatah lagi kekerapan kes kebakaran memerlukan bomba tiba dengan cepat di sesuatu lokasi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tebongan, dekat sini, hari ini.

Pada jam 4.30 petang kelmarin, dua rumah di kampung berkenaan musnah dalam kebakaran mengakibatkan tujuh penghuni hilang tempat tinggal, selain seorang mangsa dilaporkan melecur di bahagian leher ketika cuba menyelamatkan dokumen penting.

Mengulas lanjut, Yahya meminta penduduk beberapa kampung di daerah ini tidak membina rumah terutama di kawasan tidak sepatutnya seperti tepi jalan dan lokasi dikhaskan untuk perparitan hingga menyebabkan laluan masuk menjadi sempit.

Ini katanya, menyukarkan bomba masuk ke kawasan kampung untuk menjalankan operasi dengan cepat jika berlaku kecemasan seperti kebakaran.

37 dibaca
Berita Harian X