Isnin, 1 Disember 2014 | 3:56pm
NAMEWEE (dua dari kanan) berbincang bersama peguam selepas dijatuhkan hukuman perintah kehadiran wajib di Mahkamah Sesyen Muar.

Namewee mengaku bersalah aibkan kakitangan TNB

MUAR: Pengarah, komposer dan penyanyi rap kontroversi, Namewee mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar sebentar tadi atas tuduhan cuba mengaibkan seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Oktober 2009.

Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh Ketua Unit Pendakwaan Johor, Saiful Edris Zainuddin.

Berikutan pengakuan itu, Hakim Roziyanti Ahmad kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan terhadap Namawee.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Hishamudin A Aziz kemudiannya membuat rayuan supaya hukuman terbabit diringankan.

Berikutan itu, Roziyanti menggantikan hukuman penjara terbabit dengan hukuman Perintah Kehadiran Wajib yang akan dikendalikan oleh Jabatan Penjara Malaysia, selain turut dikenakan bon jaminan sebanyak RM5,000.

Difahamkan, kes terbabit akan diuruskan oleh Pusat Perintah Kehadiran Wajib di Hulu Langat, Selangor sementara tempoh yang memerlukan kehadiran Namawee melaporkan diri akan ditentukan oleh Urusetia Lembaga Parol, Jabatan Penjara Malaysia kelak.

Berita Harian X