Khamis, 3 November 2016 | 6:25pm

Keluarga mangsa kebakaran HSA terima faedah PERKESO


NALLUSAMY (dua dari kiri) menyerahkan cek faedah pengurusan mayat kepada P Chandran (tiga dari kiri) dan isterinya, R Rajeswari, di Ladang St Helier di Bahau, hari ini. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

BAHAU: PERKESO menyerahkan bantuan RM1,500 kepada keluarga seorang mangsa kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, yang menetap di Ladang St Helier di sini, hari ini.

Cek bagi faedah tuntutan pengurusan mayat itu disampaikan Pengarah PERKESO negeri, M Nallusamy, kepada keluarga C Neeramaladevi, 24, yang maut dalam kejadian di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada 25 Oktober lalu.

Nallusamy berkata, semakan mendapati mangsa layak menerima faedah PERKESO kerana pernah berkerja di sebuah pasar raya di Bahau sehingga September tahun lalu, sebelum bekerja di Singapura, tiga bulan kemudian.

"Kita mendapati, keluarga juga layak menerima faedah pencen penakat mangsa yang akan mula dibayar dalam masa terdekat selepas semua urusan dokumentasi selesai.

"Dua adik mendiang akan turut menerima pencen itu sehingga berusia 21 tahun atau apabila mereka berkahwin, manakala ibu bapanya akan menerimanya seumur hidup," katanya.

Bapa mendiang, P Chandran, 56, berkata beliau terharu kerana menerima bantuan hasil caruman anaknya ketika hidup.

"Kami sekeluarga amat merindui Neeramaladevi. Kami tidak menyangka menerima bantuan hasil caruman dilakukannya sebelum ini," katanya.

28 dibaca
Berita Harian X