Jumaat, 4 November 2016 | 12:04am

Impian budak dapat status warganegara kian cerah

KUALA LUMPUR: Impian seorang budak berusia sembilan tahun mendapat status sebagai warga negara Malaysia seperti bapanya, semakin cerah susulan pertemuan dengan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, semalam.

Ia hasil inisiatif Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI) dan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-anak Islam Tersisih (PAKAT) Selangor yang tampil membantu kanak-kanak terbabit dalam usaha memastikan dia berpeluang mendapat pendidikan formal tahun depan.

Pengarah JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Yahaya Abd Aziz, turut hadir ketika pegawai penyiasat menyemak semua dokumen disimpan ibu kanak-kanak terbabit sebagai bukti anaknya warga negara ini, dalam permohonan yang dikemukakan kepada jabatan itu.

Semakan mereka mendapati, maklumat bapa tidak direkodkan dalam sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada kanak-kanak terbabit kerana tiada pengesahan perkahwinan tanpa kebenaran dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.


PENGARAH JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Yahaya Abd Aziz (kiri), hadir bersama ketika pegawai penyiasat menyemak semua dokumen dikemukakan ibu Muhamad Ashraf. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Berdasarkan semakan awal, rekod kelahiran kanak-kanak dari Setapak itu boleh diperbetulkan jabatan berkenaan bagi melayakkannya mendapat status warga negara selepas pengesahan diperoleh ibunya berhubung status perkahwinan.

Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abd Ghani, berkata mengikut maklumat ibu kanak-kanak berkenaan, ada lima individu termasuk wanita itu sendiri, suaminya dan isteri pertama lelaki terbabit hadir ketika membuat pendaftaran kelahiran di JPN Cawangan Maju Junction, di sini pada 24 Ogos 2007.

"Sebagai warga Indonesia, ibu kanak-kanak terbabit tidak mahir prosedur pendaftaran, hanya suaminya menguruskan proses itu. Bagaimanapun, selepas permohonan ke sekolah formal ditolak pada 30 Disember 2013, wanita itu sedar sijil kelahiran tiada maklumat bapa sehingga anaknya keciciran belajar di sekolah kebangsaan.

"Ibu dan bapa kanak-kanak itu berkahwin di Pattani, Thailand sebelum membuat permohonan mendaftar pernikahan di Pejabat Agama Daerah Chenor pada 23 Disember 2015. Namun selepas siasatan dibuat, tiada keputusan dimaklumkan sehingga kini,"  katanya.


PRESIDEN Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI), Datuk Norasyikin Abd Ghani. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Norasyikin mengesyorkan prosedur pendaftaran kelahiran diasingkan daripada isu agama kerana boleh menyebabkan hak anak mendapat pendidikan dan faedah perubatan terjejas, selain kesannya kepada masa depan termasuk menyukarkan proses khairat kematian, harta pusaka dan wali perkahwinan.

"Prosedur pendaftaran pernikahan perlu dipermudahkan, dibenarkan mendaftar selepas siasatan pejabat agama daerah, manakala bayaran denda di mahkamah dibuat selepas itu. Ada kes anak perempuan tidak direkodkan maklumat bapa nyaris berkahwin dengan bapanya sendiri selepas terpisah sejak kecil," katanya.


PENGURUS Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-anak Islam Tersisih (PAKAT) Selangor, Elin Jamal. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

MUHAMAD Ashraf bersama ibunya. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
MUHAMAD Ashraf terlepas peluang mengikuti pendidikan formal kerana status bukan warga negara, walaupun bapa warga negara. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
PENGARAH JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Yahaya Abd Aziz (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Muhamad Ashraf ketika sesi lawatan JPN ke kediaman kanak-kanak itu di Setapak. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
Berita Harian X