Jumaat, 4 November 2016 | 6:48am
HUAWEI Fit.

Huawei perkenal telefon pintar Mate 9

HUAWEI Mate 9.

MUNICH: Huawei, pengeluar peralatan telekomunikasi terkemuka China, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri telefon pintar global menerusi pelancaran HUAWEI Mate 9, yang menampilkan reka bentuk menarik yang lebih nipis serta dilengkapi pelbagai teknologi dan inovasi terkini.

Siri terbaharu telefon pintar Mate ini antara lain dilengkapi paparan skrin rata berukuran 5.9 inci jenis FHD dengan resolusi 1080p (1920 x 1080), 373ppi.

Peranti seberat 190 gram ini didatangkan dengan sistem pemprosesan Kirin 960 dan sistem perisian sistem Android Nougat 7.0 yang digabungkan dengan EMUI 5.0, sekali gus menjadikan operasi lebih lancar serta pantas.

Ia mempunyai kapasiti storan dalaman 4 GB dan simpanan dalaman daripada 64 GB hingga 256 GB yang boleh dipilih oleh pengguna, selain dibekalkan dengan dwi kad sim.

Dengan bateri berkapasiti 4000mAh dan ditambah dengan teknologi pengecaj super, membolehkan Mate 9 dicaj sepenuhnya hanya dalam masa 20 minit, dengan kuasa yang mencukupi untuk beroperasi selama dua hari.

Seperti telefon pintar P9 yang dilancarkan April lalu dan sehingga kini sudah mencecah jualan hampir sembilan juta unit, Mate 9 juga menawarkan ciri kelebihan mengagumkan menerusi fungsi kamera dwi-kanta.

Inovasi yang dihasilkan menerusi kerjasama kejuruteraan dengan pengeluar kamera terkemuka dari Jerman - Leica, membolehkan pengguna memperoleh imej lebih baik.

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Bisnes Pengguna Huawei, Richard Yu.

Kamera generasi kedua Leica ini dilengkapi 12 megapiksel RGB sensor, 20 megapiksel sensor monokrom dan Hibrid Zoom, yang mempunyai pembesaran 2x unggul.

Pelancaran peringkat global HUAWEI Mate 9 disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bisnes Pengguna Huawei, Richard Yu di sini, semalam, yang dihadiri kira-kira 700 wakil media dan pengamal industri dari lebih 20 negara, termasuk Malaysia.

Turut dilancarkan pada majlis itu adalah edisi terhad Porsche Design Huawei Mate 9 yang dibangunkan menerusi pengeluar kereta premium Jerman, Porsche dan HUAWEI FIT, iaitu peranti dalam satu yang direka untuk menyokong keperluan kecergasan badan bagi mereka bergiat dalam pelbagai aktiviti terutama sukan.

Berucap pada majlis itu, Richard berkata pelancaran Mate HUAWEI 9 adalah sejajar dengan hasrat kumpulan itu dalam memenuhi keperluan pengguna terhadap sebuah telefon pintar yang bukan saja pantas dan mempunyai pelbagai fungsi, malah mempunyai unsur reka bentuk menarik serta intuitif.

"Dalam membangunkan Mate HUAWEI 9, kami bermula dengan satu soalan yang mudah - bagaimana kami boleh menambahbaik setiap unsur dalam pengalaman penggunaan telefon pintar.

"Kami tahu untuk pengguna perniagaan hari ini, telefon pantas dengan fungsi pintar hanya satu permulaan. Pengguna juga mahu reka bentuk yang cantik dan intuitif," katanya.

Info Mate Huawei 9

• 6GB + 256GB - Euro 1,395

• 4GB + 64GB - Euro 699

• Huawei Fit - Euro 199

• 6 warna pilihan - kelabu, perak, emas, coklat, putih dan hitam

• Dijangka mula dijual di Malaysia dalam tempoh beberapa minggu lagi

Berita Harian X