Jumaat, 4 November 2016 | 4:33pm

Azpilicueta puji format baharu pertahanan Chelsea

PERTAHANAN Chelsea, Cesar Azpilicueta. - Foto AFP

LONDON: Pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta percaya keputusan Antonio Conte membina semula benteng The Blues menjadi asas utama terhadap usaha mereka untuk terus mencabar kedudukan peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Conte akan berdepan Everton esok dengan harapan untuk mengekalkan rentak empat kemenangan berturut-turut sejak pengendali itu merombak formasi daripada empat menjadi tiga unit pertahanan.

Sejak itu mereka sudah tidak melepaskan gol sekali gus kini kembali dipisahkan satu mata di belakang peneraju bersama Manchester City, Arsenal dan Liverpool yang terikat 23 mata di puncak liga.

Azpilicueta yang beroperasi di bahagian kanan dalam formasi tiga pertahanan itu, memuji kekebalan barisan pertahanan Chelsea setakat ini.

"Sebagai pertahanan, jelas sekali kami cukup gembira apabila tidak bolos, sama seperti penyerang ketika menjaringkan gol, tetapi saya fikir apa yang penting adalah kerja sama berpasukan," katanya.

"Kami bertahan sebagai satu unit yang mana memudahkan kerja barisan pertahanan dan kami cuba mengelak daripada menghadiahkan peluang terhidang buat pasukan lawan. Ia amat penting untuk menjadi pasukan yang kukuh."

Azpilicueta dikerah ke bahagian pertahanan tengah kanan berbanding pertahanan kanan menyerang untuk melengkapkan trio benteng di sisi David Luiz dan Gary Cahill, dengan kapten kelab John Terry terpaksa memanaskan bangku simpanan. - AFP

Berita Harian X