Sabtu, 5 November 2016 | 11:44am

Belajar daripada sejarah - Sultan Nazrin


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat ke istiadat menghadap sembah taat setia,istiadat menjunjung duli dan penganugerahan darjah kebesaran Negeri Perak di Balairong Seri,Istana Iskandariah. - Foto Effendy Rashid

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah semua pihak belajar daripada sejarah ketamadunan silam agar tidak mengulangi kesilapan lampau.

Baginda bertitah, mereka yang lupa sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan yang sama dan sikap tidak belajar daripada sejarah, adalah sebesar-besar pengajaran sejarah.

"Sejarah bukannya ramalan, sejarah ialah catatan peristiwa yang telah berlaku secara faktual, satu rekod yang tepat, konsisten dan tidak berubah, untuk dijadikan rujukan, dijadikan teladan dan dijadikan panduan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-60 di Istana Iskandariah, di sini, sebentar tadi.

Sultan Nazrin bertitah, kejatuhan pemerintahan Andalusia tidak berlaku sekelip mata, tetapi melalui proses yang panjang dengan bibit-bibit kejatuhan bermula sejak pemerintahan Andalusia mula berpecah kepada kerajaan kecil.

Titah baginda, ahli sejarah Mesir, Dr Raghib As-Sirjani, merumuskan kejatuhan Andalusia disebabkan tiga faktor penting iaitu mereka yang menguasai pemerintahan tenggelam dalam godaan harta dunia, berlumba mengumpul harta yang kemudian mendorong mereka hidup mewah, bermegah, berfoya-foya serta berseteru kerana berebut kuasa.

Baginda bertitah, pemerintah juga sibuk dengan urusan dunia dan meninggalkan semangat jihad dan ketiga, merebaknya berbagai kemaksiatan dan kemungkaran yang tidak dibendung, malah dibiarkan.

"Demikian juga, kelat dan pahit yang terpaksa dimamah oleh pembesar, hulubalang dan biduanda, dalam ratap hiba dan sedu sedan, wanita, perawan dan gadis sunti Melaka, ketika Rajanya kehilangan takhta, kerajaannya kehilangan pemerintahan, dan rakyatnya kehilangan negara, apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

"Melaka jatuh ke tangan Portugis kerana pemimpinnya leka, hingga mengabaikan rakyat, negara dan agama," titah baginda.

Berita Harian X