Isnin, 7 November 2016 | 12:01am
PEST Killa memperoleh testimoni positif daripada pengguna. - Foto Zunnur Al Shafiq

Racun serangga daripada pokok tuba


ABDUL Syukor menunjukkan produk Pest Killa yang sudah dikomersialkan. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Mengambil idea daripada kaedah Orang Asli menghalau serangga menggunakan pokok tuba, penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencipta racun serangga mesra pengguna dikenali sebagai Pest Killa.

Ketua Projek Penyelidikan Pest Killa, Abdul Syukor Abd Razak, berkata pihaknya menjalankan kajian selama dua tahun untuk mengenal pasti potensi pokok tuba menjadi bahan utama dalam penghasilan racun serangga.

Beliau berkata, kajian itu membabitkan ujian terhadap lipas, semut, lalat dan cicak sahaja tetapi produk berkenaan kini boleh digunakan untuk menghalau pelbagai jenis serangga, termasuk nyamuk serta lipan.

"Kami memulakan kajian pada 2013 dan mendapati pokok tuba mempunyai potensi sebagai agen untuk menghalau serangga. Namun jika digunakan secara langsung, ia akan memberi kesan sampingan pada pengguna.

Respons positif


ABDUL Syukor (kiri) menerangkan kegunaan Pest Killa yang berkesan menghalau serangga. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Oleh itu, kami mengambil keputusan menghasilkan racun berkenaan dalam bentuk cecair semburan yang mesra pengguna, malah berbau wangi dan tidak menyesakkan pernafasan," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Berikutan respons positif diterima, Abdul Syukor berkata, produk Pest Killa dikomersialkan dengan mencatat jualan sebanyak 20,000 botol setiap bulan membabitkan permintaan daripada warga kampus dan masyarakat luar.

"Berdasarkan testimoni diperoleh daripada 2,000 pelanggan, sebanyak 99.8 peratus bersetuju bahawa produk ini sangat berkesan menghalau serangga dan tidak memberi impak berbahaya terhadap pengguna," katanya yang bekerjasama dengan UMP Holdings Sdn Bhd untuk pengedaran Pest Killa.

Inovasi itu turut meraih Anugerah Produk Paling Inovatif, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Peringkat Antarabangsa (Negara ASEAN) 2016.

INFO: Kelebihan Pest Killa

- Mesra alam.

- Mudah digunakan.

- Murah dan mampu milik pada harga RM23 sebotol.

- Membantu memelihara ekosistem kerana menggunakan bahan semula jadi.

- Sangat menjimatkan kerana sebotol boleh digunakan antara tiga hingga empat bulan.

80 dibaca
Berita Harian X