Isnin, 7 November 2016 | 9:44am

37,706 calon duduki SPM di Perak

PENGARAH Pendidikan Perak, Datuk Rozi Puteh Ismail.
PENGARAH Pendidikan Perak, Datuk Rozi Puteh Ismail.

IPOH: Seramai 37,706 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 323 pusat peperiksaan di negeri ini, bermula hari ini sehingga 6 Disember.

Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Rozi Puteh Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 35,720 orang adalah calon sekolah kerajaan; 1,986 calon persendirian dan 76 calon berkeperluan khas.

"Enam calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di Ipoh, daerah Manjung, Larut Matang dan Selama (LMS) dan Hulu Perak," katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama peperiksaan berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini pagi ini.

Yang turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Adnan Rejab; Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, Hasni Hashim dan Pengetua SMK Gunung Rapat, Roslen Hashim.

Rozi Puteh berkata, seramai 2,451 petugas iaitu terdiri 137 penyelia kawasan, 323 Ketua Pegawas, 323 Timbalan Ketua Pengawas dan 1, 345 pengawas peperiksaan ditugaskan bagi peperiksaan berkenaan.

Berita Harian X