Isnin, 7 November 2016 | 9:54am

4,080 calon ambil SPM di Perlis

CALON-CALON menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Perlis, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
CALON-CALON menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Perlis, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Seramai 4,080 pelajar di negeri ini mula menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 68 pusat peperiksaan bermula pagi ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail, berkata jumlah itu meliputi 3,614 pelajar di sekolah kerajaan, 120 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 133 pelajar sekolah swasta dan 213 calon persendirian.

"Daripada 4,080 pelajar yang menduduki SPM di negeri, empat calon terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kerana masalah kesihatan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan perjalanan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, di sini.

Izmi bekata, pihaknya juga membuat persediaan Op Payung sekiranya berlaku banjir.

"Di Perlis, kita pernah menghadapi situasi banjir ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2011, jadi langkah-langkah persediaan sentiasa diutamakan.

"Selain memantau situasi semasa, kita menitikberatkan keadaan calon supaya mereka dapat hadir dan menduduki peperiksaan," katanya.

Katanya, seramai 245 petugas terbabit dalam SPM di 68 pusat peperiksaan di negeri ini pada tahun ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X