Isnin, 7 November 2016 | 1:06pm

2 calon SPM terpaksa ambil peperiksaan di hospital

MELAKA: Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menduduki peperiksaan bagi subjek Bahasa Melayu Kertas 1 di Hospital Pakar Putra, di sini, hari ini.

Muhammad Amirul Qusyairi Nasaruddin, 17, dan Atiqah Abdol Razak, 17, antara 14,766 calon yang menduduki SPM di Melaka pada tahun ini.

Muhammad Amirul Qusyairi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Francis dan Atiqah dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang, masing-masing menduduki peperiksaan di Hospital Pakar Putra akibat kemalangan dan disyaki menghidap epilepsi.

EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin, berkata seramai 14,766 calon termasuk 26 Calon Berkeperluan Khas (CBK) menduduki SPM di negeri ini di 107 pusat peperiksaan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Melaka.

"Jabatan Pendidikan Negeri melantik seramai 959 petugas peperiksaan termasuk 32 Penyelia Kawasan, 107 Ketua Pengawas, 107 Timbalan Ketua Pengawas, 593 Pengawas dan 14 Pengawas Hospital untuk peperiksaan SPM tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke atas calon yang menduduki SPM di Hospital Pakar Putra dan SMK Tun Mutahir, di sini, pagi ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X