Isnin, 7 November 2016 | 2:29pm

Apa gelaran bagi Bill Clinton jika Hillary menang jawatan presiden?

Bill Clinton dan isteri, Hillary Clinton. - Foto Reuters

WASHINGTON: Antara persoalan paling mengasak minda rakyat Amerika Syarikat adalah gelaran apakah yang sesuai diberikan kepada Bill Clinton jika isterinya, Hillary, memenangi persaingan ke Rumah Putih?

Sehingga kini, jawatan Presiden Amerika Syarikat disandang lelaki dengan wanita sebagai pasangan.

Bill Clinton mencetuskan dilema, bukan hanya kerana beliau bakal menjadi pasangan lelaki pertama presiden tetapi juga bekas presiden pertama kembali ke Rumah Putih sebagai pasangan.

Bekas gabenor Arkansas itu terpilih sebagai presiden pada 1992 dan sekali lagi pada 1996, berkhidmat selama lapan tahun.

Sudah menjadi kebiasaan menggunakan gelaran kehormat 'presiden' kepada sesiapa yang pernah menjawat jawatan itu walaupun selepas meninggalkan Rumah Putih.

Namun jika ramalan tepat dan Hillary Clinton menang jawatan itu, Bill tidak boleh lagi dirujuk sebagai Presiden Clinton selepas majlis angkat sumpah isterinya pada Januari tanpa mencetuskan kekeliruan besar.

Pakar etika berkelayakan, Lisa Grotts, berkata dilema untuk menggelar pasangan lelaki presiden perlu diuruskan dengan peringkat kerajaan, yang mungkin perlu atau mungkin juga tidak perlu, menyediakan pelan tindakan.

"Di Amerika, kita mempunyai enam gabenor perempuan dan suami mereka secara tidak rasmi digelar 'Lelaki Pertama. Namun tiada peraturan untuk pasangan presiden.

"Sekali menjadi presiden, akan sentiasa digelar presiden dan kekal menjadi gelarannya seumur hidup," kata Grott.

Pakar mengenai Wanita Pertama dengan Persatuan Sejarah Rumah Putih, Allida Black, berkata tiada persoalan mengenai perkara itu, dari segi protokol, kerana gelaran Bill Clinton akan kekal sama apabila Pasangan Pertama itu hadir di majlis rasmi.

"Ia akan kekal sebagai Presiden Clinton dan bekas Presiden Clinton," katanya, merujuk kepada keluarga Bush apabila George H W Bush menjadi presiden ke-41 dan anaknya, George W Bush menjadi presiden ke-43 Amerika. - AFP

Berita Harian X