Isnin, 7 November 2016 | 2:53pm

Gabenor Jakarta disoal siasat didakwa hina Islam

Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali dengan Ahok. - Foto AFP
Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali dengan Ahok. - Foto AFP

JAKARTA: Polis Indonesia menyoal gabenor ibu kota negara itu yang beragama Kristian kerana dakwaan menghina Islam, selepas tuduhan itu mencetuskan bantahan ganas oleh puak konservatif di negara paling ramai umat Islam itu.

Demonstrasi pada Jumaat itu bermula aman tetapi merebak menjadi kecoh menjelang malam dengan penunjuk perasaan membakar kereta polis dan membaling batu serta botol di pusat bandar raya, ketika menuntut Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali dengan Ahok, dipenjarakan kerana menghina agama.

Ramai anggota polis cedera dan seorang maut di tengah pertempuran berhampiran istana presiden, dilaporkan selepas bedilan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa menyebabkan mangsa diserang asma.

Bantahan membabitkan puluhan ribu umat Islam itu dicetuskan tuduhan Ahok, etnik minoriti Cina, menghina al-Quran kerana berkempen pada pilihan raya gabenor.

Beliau berkata, pencabarnya menggunakan ayat Quran yang menggesa pengundi Islam tidak memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin dalam usaha memperdaya pengundi menentangnya.

Polis melakukan siasatan terhadap Ahok, sebelum bantahan pada Jumaat itu selepas kumpulan Islam menuduh beliau melanggar undang-undang tegas menghina agama negara itu.

Pada Isnin, Ahok melepasi media yang menunggu ketika tiba di ibu pejabat polis Jakarta untuk disoal siasat sebagai saksi dalam kes itu.

Jika didapati bersalah, Ahok, yang menjadi kegemaran untuk menang pada pilihan raya Februari ini menentang dua calon Islam, boleh dipenjarakan sehingga lima tahun.

Bagaimanapun, belum dinamakan sebagai suspek dalam kes itu, langkah yang bermakna pihak berkuasa mempertimbangkan untuk memfailkan dakwaan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X