Isnin, 7 November 2016 | 4:08pm

Pelajar kemalangan jalan raya tidak dapat ambil SPM

NURUL Fakira ditemani Zarinawati di HTA terpaksa melupakan hasratnya menduduki SPM selepas patah paha terbabit kemalangan jalan raya berhampiran jambatan Kampung Banir Belikong, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, di sini, awal pagi tadi.
NURUL Fakira ditemani Zarinawati di HTA terpaksa melupakan hasratnya menduduki SPM selepas patah paha terbabit kemalangan jalan raya berhampiran jambatan Kampung Banir Belikong, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, di sini, awal pagi tadi.

PASIR PUTEH: Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 hari ini, terpaksa melupakan hasrat itu apabila dia dan bapanya terbabit kemalangan jalan raya dalam perjalanan ke sekolah, pagi tadi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, di sini, Nurul Fakhira Husna Azmi, 17, patah paha kiri dan mengalami kecederaan di muka, manakala bapanya yang juga guru di sekolah itu, Azmi Mahmud, 43, mengalami sakit dada selepas kereta Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan kereta BMW, kira-kira jam 7 pagi di Kampung Banir Belikong, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu.

Nurul Fakhira dan Azmi serta dua lagi mangsa di dalam kereta BMW, Mohd Rozi Rukman, 34, dan Natasha Princess Nur M Rapie, 39, mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Tengku Anis, di sini.

Bagaimanapun, Nurul Fakhira yang juga pelajar cemerlang di sekolah terbabit terpaksa dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu, untuk mendapatkan rawatan pakar.

Ibu mangsa, Zarinawati Abdul Wahid, 44, berkata keluarganya terpaksa membuat keputusan untuk menangguhkan peperiksaan SPM anak sulungnya itu selepas melihat kecederaan dialami dan kesan kemalangan Nurul Fakhira.

"Kami sangat sedih dengan kejadian ini kerana pada awalnya Nurul Fakhira ingin meneruskan peperiksaan SPM hari ini, namun melihat keadaannya yang dalam kesakitan serta trauma kami memutuskan sebaliknya.

"Saya juga sangat sedih kerana suami juga turut mengalami kecederaan dalam kemalangan ini," katanya ketika ditemui, di HTA, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBPM) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 7.01 pagi dan tiba ke tempat kejadian jam 7.16 pagi.

"Kemalangan membabitkan dua kenderaan secara bertembung antara kereta BMW yang datang dari arah Pasir Puteh ke Kota Bharu dengan Perodua Alza dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menuju ke SMK Sri Aman, di Pasir Puteh," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X