Isnin, 7 November 2016 | 4:18pm

Calon SPM sebak jawab peperiksaan di hospital

PELAJAR Sekolah Menengah Tahfiz Sains Kok Lanas, Muhammad Arif Asyraf Anuar (kiri) menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII). - Foto BERAMA
PELAJAR Sekolah Menengah Tahfiz Sains Kok Lanas, Muhammad Arif Asyraf Anuar (kiri) menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII). - Foto BERAMA

KOTA BHARU: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) tidak dapat menahan sebak kerana terpaksa menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dalam keadaan kesakitan.

Pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Sains Kok Lanas, Muhammad Arif Asyraf Anuar, 17, dimasukkan ke HPRZII pada Jumaat lalu selepas disahkan menghidap apendiks.

Katanya, pada awalnya dia mahu menangguhkan pembedahan itu selepas selesai peperiksaan SPM, namun doktor menasihatkan supaya segera menjalani pembedahan bagi mengelakkan berlaku sesuatu yang lebih serius.

"Pada malam Jumaat lalu saya menjalani pembedahan membuang apendiks.

"Saya tidak sangka akan menduduki SPM di katil hospital pada hari pertama peperiksaan sambil menahan kesakitan kesan daripada pembedahan sekali gus menyebabkan saya hilang tumpuan," katanya ketika ditemui di Wad Cempaka, HPRZII di sini, hari ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu, berkata dia tidak dapat menahan sebak kerana tidak boleh menduduki peperiksaan bersama rakan-rakannya lain di sekolah.

"Jika di sekolah, mungkin saya boleh mengulangkaji bersama mereka sebelum memasuki dewan peperiksaan, namun kini terpaksa menghadapinya sendirian di katil hospital.

"Sedih kerana tidak dapat menjawab kertas peperiksaan dengan baik. Bagaimanapun, sokongan ibu bapa menguatkan saya untuk menduduki ujian ini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X