Isnin, 7 November 2016 | 6:15pm

Pengusaha batik Sabah perlu lebih kreatif

KETUA Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

KOTA KINABALU: Pengusaha batik di Sabah perlu menghasilkan produk dan corak batik yang kreatif, berinovasi serta berkualiti tinggi bagi meningkatkan permintaan terhadap industri batik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata usaha ini akan memberi impak yang besar kepada pengusaha batik namun perlu dilakukan secara konsisten agar industri itu terus kukuh dan mampu berdaya saing.

"Kita harus berbangga dengan keupayaan usahawan batik kita yang mampu menghasilkan pelbagai produk mempunyai nilai estetika, berkualiti dan praktikal.

"Oleh itu, setiap sektor perlu bekerjasama dalam memastikan industri ini terus kukuh seiring dengan pembangunan negara. Jika dilihat negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Myanmar amat bangga menggunakan produk batik keluaran mereka sendiri.

"Kita juga sepatutnya mencontohi mereka dan berbangga dengan produk batik keluaran negara kita," katanya ketika merasmikan Festival Viva Batik di sini, hari ini.

Majlis perasmian turut disempurnakan bersama bekas Perdana Menteri yang juga Penaung Malaysian Batik Crafted for the World Movement, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan gong dipalu tiga kali sebagai simbolik.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad; Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli; Pengerusi YaYasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Nori Abdullah dan Pengerusi Waterfront Urban Development (WUD) Sdn Bhd, Datuk Abdul Ghani Rashid.

Pada majlis itu, Musa dan Abdullah turut menyaksikan sumbangan cek bernilai RM50,000 daripada WUD yang disampaikan oleh Abdul Ghani kepada Penyayang diwakili Nori.

Festival Viva Batik 2016 anjuran WUD dan Penyayang diadakan di Oceanus Waterfront Mall mulai Sabtu lalu hingga 13 November ini.

Terdahulu, Nori berharap lebih ramai rakyat Sabah terbabit dalam industri batik."Penyayang gembira kerana dapat bekerjasama dengan WUD dan Oceanus Waterfront Mall menjayakan festival ini," katanya.

Berita Harian X